Malaysia mampu catat pertumbuhan ekonomi melebihi paras sebelum pandemik - Kementerian Kewangan | DagangNews Skip to main content

Malaysia mampu catat pertumbuhan ekonomi melebihi paras sebelum pandemik - Kementerian Kewangan

Tinjauan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat kekal berdaya tahan. - Gambar : Ishan/Unsplash

KUALA LUMPUR 11 Nov - Pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh suku ketiga 2022 menunjukkan Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan melebihi paras sebelum pandemik bagi tahun ini, demikian menurut Kementerian Kewangan.

 

Unjuran itu disokong oleh permintaan domestik yang berkembang terutamanya daripada perbelanjaan isi rumah selari dengan pemulihan prospek pasaran buruh dan pendapatan. 

 

Selain itu, katanya, sumbangan sektor berkaitan pelancongan kepada permintaan domestik dijangka pulih berikutan kenaikan jumlah ketibaan pelancong. 

 

"Pelaksanaan lebih cepat projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi, peningkatan pelaburan swasta yang menggalakkan serta permintaan luar yang kukuh terutama daripada rakan dagang utama akan mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap.

 

Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9% dan lebih kukuh berbanding 5% yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

 

Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga

 

Kali terakhir ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan dua angka adalah pada suku kedua tahun lalu sebanyak 16.1%.

 

Secara keseluruhan, pertumbuhan kukuh pada suku ketiga itu menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan 2022 sebanyak 9.3%.

 

Menurut Kementerian Kewangan, prospek ekonomi Malaysia turut bergantung kepada perkembangan ekonomi global memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka. 

 

"Tekanan ekonomi, terutama peningkatan inflasi global akibat kenaikan harga yang berterusan dalam komoditi, makanan dan bahan mentah, di samping isu gangguan rantaian bekalan yang berterusan akibat ketegangan antara Rusia dan Ukraine dijangka meningkatkan kos operasi dan input kepada perniagaan," jelasnya.

 

Mengulas lebih lanjut, kementerian itu berkata, risiko keadaan kewangan global yang lebih ketat dan peningkatan kos sara hidup dijangka menjadi cabaran kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

 

Katanya, ekonomi Malaysia kini mula merasai kesan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan terutama dari negara maju. 

 

"Bagaimanapun, tinjauan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat kekal berdaya tahan dengan asas makroekonomi yang kukuh, keadaan kewangan yang stabil dan kepelbagaian struktur ekonomi. 

 

"Pelbagai langkah akan diteruskan bagi meningkatkan potensi ekonomi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif," katanya. - DagangNews.com