Malacca Securities semak turun unjuran pendapatan Jaks Resources sebanyak 13.8%, 16.6% bagi FY22 dan FY23 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities semak turun unjuran pendapatan Jaks Resources sebanyak 13.8%, 16.6% bagi FY22 dan FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Malacca Securities menyemak turun unjuran pedapatan Jaks Resources Berhad masing-masing sebanyak 13.8% (RM82 juta) dan 16.6% (RM96.1 juta) bagi FY22 serta FY23 kesan daripada hasil yang lebih lemah berbanding jangkaan.

 

Firma itu berkata, semakan itu dibuat bagi memberikan gambaran jelas terhadap sumbangan yang lebih lemah daripada jangkaan terhadap kerjasama projek di Vietnam serta kelewatan kemajuan dalam beberapa projek.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga berdepan kerugian besar daripada segmen pelaburan hartanah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 3QFY22 menyusut sebanyak 36.1% kepada RM20.3 juta didorong kerugian besar daripada sektor pembinaan dan pelaburan hartanah serta perbelanjaan sebanyak RM14 juta berkaitan Pelan Insentif Jangka Panjang (LTIP) yang mengimbangi sumbangan yang lebih tinggi sedikit daripada usaha niaga Hai Doung Vietnam.

 

Pendapatan bagi suku itu menurun sebayak 46.4% kepada RM16.4 juta.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mengekalkan kunci kira-kira yang stabil bagi 3QFY22 dengan sumbangan daripada Vietnam semakin stabil dengan projek tertunggak kumpulan itu berada pada paras melebihi RM200 juta yang memberi gambaran kewangan jelas untuk tempoh dua tahun.

 

Katanya, projek LSS4 berada di landasan yang baik untuk operasi komersial pada 1QFY23.

 

"Projek berkenaan dijangka menjana sekitar RM10 juta setahun keuntungan bagi tempoh 25 tahun," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 39 sen.

 

"Risiko kepada saranan itu termasuk kadar penggunaan yang lebih rendah daripada jangkaan atau peningkatan yang tidak dijangka dalam kos projek IPP Vietnam.

 

"Kelewatan dalam tarikh operasi komersial LSS4 selain operasi Vietnam didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) juga antara risiko yang perlu dihadapi," katanya. - DagangNews.com