Lima sekolah di Malaysia terpilih bertanding dalam World's Best Schools untuk rebut hadiah RM1 juta | DagangNews Skip to main content

Lima sekolah di Malaysia terpilih bertanding dalam World's Best Schools untuk rebut hadiah RM1 juta

Murid SK Luagan mempelajari seni perfileman untuk mengumpul dana membeli bot bagi meneruskan pendidikan di kampung yang sering mengalami banjir.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Sebanyak lima buah sekolah peneraju perubahan di Malaysia telah dipilih daripada 10,000 sekolah lain di negara ini untuk bertanding dalam anugerah pendidikan paling berprestij di dunia, World’s Best Schools Prizes oleh T4 Education yang menawarkan hadiah wang tunai RM1.1 juta. 

 

Kelima-lima sekolah terpilih, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan di Sarawak, SK Seberang Ramai (Perlis), SK Kanchong Darat (Selangor), SK Demang Taha (Melaka) dan SK Seri Permai (Pulau Pinang).

 

Sekolah-sekolah tersebut telah dipilih para juri yang melibatkan wakil daripada Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasanah dan Pemimpin GSL. 

 

Setiap sekolah telah menunjukkan perubahan kepimpinan yang mantap, yang mentransformasikan kehidupan, bukan sahaja terhadap  murid mereka, tetapi juga terhadap komuniti mereka.  

 

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pendidikan, Zulkifli Nordin yang merupakan salah seorang juri berkata, beliau berbangga dengan komitmen dan kreativiti semua pihak dalam melaksanakan program pendidikan yang dirancang bagi meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah masing-masing.  

 

"Kesemua program yang dipertandingkan memperlihatkan kehebatan warga sekolah dalam menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi oleh sekolah atau komuniti dengan menggunakan strategi penyelesaian di luar kotak pemikiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari pula berkata, anugerah filantropi penting atas beberapa sebab, memberikan bantuan kewangan kepada sekolah, dan pada masa sama meraikan inovasi dan kreativiti, tidak kira di mana mereka berada.

 

 

wbp

 

 

wbp
Program Pembelajaran Berasaskan Projek di SK Demang Taha telah membina kemahiran hidup untuk murid menjana pendapatan bagi keluarga mereka.

 

"Selain memberi ganjaran bagi idea daya cipta kepada sekolah-sekolah ini, anugerah turut mengiktiraf peranan guru, pendidik dan belia kuntuk memberi inspirasi kepada penyelesaian dunia sebenar di peringkat global, sambil beranjak ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan progresif," katanya.

 

Pengarah Program Pemimpin GSL, Samuel Isaiah, menangani isu-isu berkaitan alam sekitar, pendidikan, komuniti, dan kesihatan adalah bidang kritikal yang memerlukan perhatian daripada semua sektor masyarakat. 

 

 

wbp

 

 

wbp

 

"Dengan mengambil bahagian dalam pertandingan ini, sekolah telah menunjukkan bahawa mereka komited untuk memberi impak positif dan mencipta masa hadapan yang lebih baik untuk semua," katanya.

 

Pada tahun lepas, SK Kempadang, sebuah Sekolah Amanah luar bandar di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang telah melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila tersenarai sebagai tiga finalis teratas daripada 3,500 sekolah yang disenarai pendek dari seluruh dunia dalam anugerah World’s Best School bagi kategori inovasi.

 

 

wbp

 

 

wbp

 

 

Inovasi SMARTZOOM mereka berfungsi untuk mengesan masa-nyata kemajuan murid semasa wabak COVID-19 ketika pembelajaran diadakan secara dalam talian. - DagangNews.com