Pengasas iProperty dilantik sebagai Ketua Jualan dan Kejayaan Pelanggan BrioHR | DagangNews Skip to main content

Pengasas iProperty dilantik sebagai Ketua Jualan dan Kejayaan Pelanggan BrioHR

Leon Kong
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - BrioHR mengumumkan pelantikan pengasas bersama Kumpulan iProperty, Leon Kong sebagai Ketua Jualan dan Kejayaan Pelanggannya.

 

Kong yang bersama iProperty pada tahun 2003 memainkan peranan penting dalam kejayaannya sebagai salah satu syarikat permulaan teknologi paling berjaya di Asia Tenggara. 

 

Pada 2015, syarikat itu bergabung dengan Kumpulan REA, menghasilkan transaksi pengiklanan dalam talian terbesar dalam sejarah ASEAN, dengan penilaian penggabungan sebanyak AS$534 juta (RM 2.241 bilion).

 

Dengan pengalaman hampir dua dekad sebagai peneraju dalam proptech, hartanah dalam talian, Kong akan menjadi ahli utama pasukan yang bertanggungjawab menyediakan sokongan pelanggan untuk pelanggan BrioHR kini dan akan datang. 

 

Beliau juga akan bertanggungjawab untuk mengembangkan jenama BrioHR dan meningkatkan peluang pendapatan.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BrioHR, Benjamin Croc berkata, Kong adalah tambahan yang cemerlang kepada pasukan mereka, kerana beliau membawa gabungan pengalaman jualan yang mendalam dan set kemahiran untuk menyampaikan kejayaan pelanggan.

 

"Memandangkan BrioHR meneruskan pertumbuhan pesatnya dan memberi tumpuan di seluruh Asia Tenggara, kepimpinan jualan Kong dan latar belakang kukuhnya dalam membina pasukan jualan berprestasi tinggi akan mempercepatkan pertumbuhan kami. Kami sangat teruja untuk menyertainya," katanya.

 

Kong pula berkata, beliau sangat teruja dan berbesar hati untuk menyertai BrioHR, platform HR hujung-ke-hujung yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, sebagai Ketua Jualan dan Kejayaan Pelanggan. 

 

"Peranan ini menyediakan peluang yang sangat baik kerana BrioHR menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan luar biasa yang diperlukan oleh perniagaan untuk menambah baik dan memudahkan perkhidmatan HR harian mereka. 

 

"Saya tidak sabar-sabar untuk mewujudkan jabatan kejayaan pelanggan yang bersemangat untuk memupuk hubungan, matlamat dan kejayaan muktamad setiap pelanggan dalam pertumbuhan perniagaan," katanya. - DagangNews.com