Lebih 90% tempahan diterima LBS untuk rumah satu tingkat KITA bestari | DagangNews Skip to main content

Lebih 90% tempahan diterima LBS untuk rumah satu tingkat KITA bestari

Projek KITA Bestari di perbandaran Tanah Rizab Melayu KITA@Cybersouth
oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Sejak dibuka untuk tempahan dua minggu lepas, rumah satu tingkat KITA Bestari yang terletak di perbandaran Tanah Rizab Melayu KITA@Cybersouth sudah lebih 90% ditempah.

 

Menurut pemaju LBS Bina Group Bhd (LBS), kadar tempahan luar biasa rumah satu tingkat itu disokong oleh permintaan pasaran yang kukuh di kawasan perbandaran tersebut. 

 

Pengerusi Eksekutif syarikat pemaju itu, Tan Sri Lim Hock San, berkata, sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS kekal komited dengan matlamat untuk menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti bagi memenuhi permintaan negara.

 

Menurutnya, projek pembangunan KITA @ Cybersouth menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli rumah sejak pelancaran pertamanya pada 2018.

 

"Berdasarkan rekod, rumah satu tingkat KITA Bestari terjual melebihi 90 peratus unit dan ini menunjukkan tahap keyakinan pelanggan yang kukuh terhadap LBS.

 

"Pada 31 Disember 2022, LBS menyerahkan sejumlah 2,722 unit kunci rumah kepada pemilik rumah yang membeli rumah teres dua tingkat KITA Harmoni, Pangsapuri Servis dan ruang kedai KITA Impian, serta rumah teres dua tingkat dan rumah bandar KITA Bayu," katanya dalam satu kenyataan.

 

kita bestari
Rumah satu tingkat KITA Bestari

 

KITA Bestari terdiri daripada tiga jenis hartanah iaitu rumah teres satu tingkat yang merangkumi 413 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM217 juta, rumah dua tingkat (76 unit dengan jumlah GDV RM47 juta), serta rumah bandar (328 unit dengan GDV RM154 juta).

 

Rumah satu tingkat KITA Bestari menawarkan keluasan binaan seluas 1,094 kaki persegi dilengkapi dengan empat bilik tidur dan dua bilik air dengan harga yang berpatutan bermula daripada RM499,000.

 

Manakala rumah dua tingkat KITA Bestari berharga daripada RM600,000 dengan keluasan binaan 1,447 kaki persegi dan harga jualan bagi rumah bandar pula bermula daripada RM459,900 dengan keluasan binaan 1,346 kaki persegi (unit bawah) dan 1,483 kaki persegi bagi (unit atas).

 

Berpegang teguh kepada tiga prinsip utama LBS iaitu mampu milik, kesalinghubungan dan komuniti, kemudahan di sekitarnya diberi tumpuan secara menyeluruh bagi menggalakkan ikatan hubungan kekeluargaan menerusi pusat kecergasan, gelanggang takraw serta bola keranjang.

 

kita bestari
Rumah satu tingkat KITA Besatri bakal dilengkapi kemudahan seperti padang permainan

 

Lengkap dengan sistem pembangunan berpagar dan berpengawal, ciri-ciri keselamatan adalah faktor penting di samping harga yang berpatutan dan terletak jauh dari kesibukan ibu kota dan terletak di kawasan koridor selatan Lembah Klang Besar di antara Putrajaya dan Cyberjaya.

 

Selain itu, ia juga berdekatan dengan lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui Lebuhraya Elite, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Jalan Dengkil-Banting.

 

KITA @ Cybersouth terletak berdekatan dengan pelbagai kemudahan awam utama antaranya hab komersial, institusi kewangan, pusat pentadbiran kerajaan, institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, lapangan terbang antarabangsa, pusat penjagaan kesihatan dan sebagainya. - DagangNews.com