Langkah BNM mengetatkan Keperluan Rizab Berkanun dijangka jejas keuntungan bank, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Langkah BNM mengetatkan Keperluan Rizab Berkanun dijangka jejas keuntungan bank, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) membuatkan untung bersih bank menyusut secara agregat sebanyak 3.2%.

 

Firma itu berkata, sebelum ini BNM melonggarkan SRR daripada 3% kepada 2% akibat penularan COVID-19 pada 19 Mac 2020 sebagai usaha memastikan bank memiliki mudah tunai yang mencukupi untuk mengharungi krisis dan mereka mendapat manfaat kerana ia mengurangkan dana yang terikat dalam rizab berkanun (deposit) yang bersifat tanpa faedah.

 

Bagaimanapun, SRR itu boleh diketatkan semula selepas risiko berkaitan COVID-19 berkurangan.

 

Firma itu berkata, berdasarkan bank di dalam liputannya, Maybank akan menerima impak paling minimum sebanyak 2.3% daripada keuntungan bersihnya kerana 25% daripada hasilnya dijana daripada pasaran luar negara.

 

"Kesannya paling dirasai oleh Affin Bank pada kadar 8.4%, berdasarkan kepada jangkaan kami kesan daripada asas SRR yang rendah ketika ini.

 

"Langkah mengetatkan SRR juga akan mengurangkan margin faedah bersih bank sebanyak anggaran 5.9bp tetapi ini sepatutnya lebih daripada diimbangi oleh kesan positif daripada siri kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) (100bp pada 2022 dan jangkaan 50bp pada 2023)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kadar SRR semasa sebanyak 2% adalah yang terendah sejak Krisis Kewangan Global (GFC) pada tahun 2009, semasa GFC, BNM mengurangkan SRR daripada 3.5% kepada 2% pada Februari 2009 dan seterusnya kepada 1% pada Mac 2009.

 

SRR dinaikkan semula kira-kira dua tahun kemudian kepada 2% pada April 2011 dan seterusnya kepada 3% pada Mei 2011 dan 4% pada Julai 2011.

 

Firma itu berkata, langkah itu bagaimanapun tidak akan memberi impak kepada pertumbuhan pinjaman industri kerana kedudukan mudah tunai semua bank tempatan utama berada pada tahap yang selesa, walaupun selepas SRR diketatkan dalam memenuhi permintaan kredit dalam sistem perbankan.

 

"Kami percaya BNM akan memastikan bahawa sebarang langkah tidak menghalang keupayaan bank untuk memberi pinjaman, yang penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan mereka mengunjurkan untung bersih 20.5% untuk 2023 dan perkembangan margin faedah bersih ketika kenaikan OPR. - DagangNews.com