Skip to main content

Laksana GEG untuk arak dan judi terlebih dahulu sebelum haramkan rokok, vape - PPIM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan untuk melaksanakan Generational End Game (GEG) kepada arak dan judi terlebih dahulu sebelum mengharamkan rokok dan vape kepada generasi akan datang. 

 

Ia termasuk hujah yang sama iaitu demi kesihatan rakyat juga patut digunapakai untuk laksanakan GEG ke atas minuman bergula dan makanan segera (fast food).

 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai sebuah negara Islam, langkah pertama yang patut dibuat adalah untuk mengharamkan arak dan judi kerana ia adalah perkara yang ditegah di sisi agama Islam.

 

"PPIM sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia, juga mahu melihat generasi masa hadapan beragama Islam terutamanya tidak kenal apa itu arak dan judi.

 

“Kita adalah negara Islam. Sewajarnya aktiviti perjudian, kelab malam, rumah urut, arak dan sebagainya tidak patut ada di negara kita. Seeloknya kerajaan haramkan yang itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama Islam tetapi ia masih ada di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Nadzim berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk membuatkan negara Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan GEG dengan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok serta vape.

 

Namun katanya, adalah janggal bagi sebuah negara yang majoritinya penduduk beragama Islam mengharamkan rokok dan vape tetapi tidak mengharamkan arak serta judi.

 

 

ppim
Datuk Nadzim Johan

 

 

“Kita harus haramkan semua ini daripada anak-anak masa hadapan. Jika ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini, negara kita akan menjadi negara Islam yang dihormati dunia.

 

“Jika kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya tidak kira bangsa dan agama,” katanya.

 

Beliau menambah, tujuan utama kerajaan mahu melaksanakan GEG adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan mengurangkan penyakit berkaitan rokok dan juga menjimatkan kos kesihatan negara.

 

Tambahnya, hujah yang sama juga perlu digunakan untuk penyakit yang boleh dikaitkan dengan tabiat buruk seperti minuman bergula dan makanan segera.

 

“Menteri Kesihatan tidak boleh pilih kasih dan hanya tumpukan kepada rokok dan vape sahaja. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara paling tinggi kadar obesiti dan penyakit kencing manis. 

 

"Ini disebabkan oleh minuman bergula dan ‘fast food’ dan penyakit yang berkaitan dengan ini juga menyebabkan kos yang tinggi kepada kerajaan,” katanya.

 

Berdasarkan laporan KKM katanya, iaitu Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, terdapat 3.9 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis. Kadar ini telah meningkat dari 13.4% dalam tahun 2015 ke 18.3% dalam tahun 2019. 

 

"Ini bermakna dalam kalangan 5 orang, ada seorang yang ada penyakit kencing manis. Dengan kadar ini, ia adalah antara yang tertinggi di Asia dan di dunia.

 

“Menteri Kesihatan perlu tumpukan perhatian kepada perkara ini dan bukannya kepada rokok dan vape sahaja. GEG juga perlu digunapakai untuk makanan fast food dan minuman bergula atas hujah sama, iaitu demi kesihatan rakyat dan generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com