Kumpulan Perangsang Selangor beli 100% kepentingan dalam MDS Advance pada harga RM85 juta | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Perangsang Selangor beli 100% kepentingan dalam MDS Advance pada harga RM85 juta

KUALA LUMPUR 1 Dis - Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (KPS) menyasarkan untuk meningkatkan keuntungannya pada masa depan berdasarkan asas pendapatan yang lebih ketara menerusi pengambilalihan 100% kepentingan dalam MDS Advance Sdn. Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Perangsang Dinamik Sdn. Bhd., pada harga RM85 juta.

 

Pertimbangan pembelian pada harga itu turut menilai MDS Advance dalam penanda aras industri dari segi nilai/pendapatan perusahaan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan nisbah pelunasan (EV/EBITDA) sebanyak 7.9 kali yang akan direalisasikan sepenuhnya menerusi pengumpulan dana secara dalaman.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPS, Ahmad Fariz Hassan berkata, langkah itu akan melengkapkan portfolio semasa Perangsang Dinamik merangkumi Toyoplas Manufacturing Sdn. Bhd. dan CPI Sdn. Bhd.

 

Katanya, pengambilalihan itu turut mengukuhkan kedudukan strategik kumpulan dengan penambahan dalam rangkaian pembentukan acuan penyuntikan plastik dan perkhidmatan pembuatan menerusi kepakaran dalam pemesinan logam.

 

“Dengan rangkaian keupayaan yang meluas, menambah kelebihan daya saing sedia ada dan cadangan nilainya, Perangsang Dinamik boleh menawarkan penyelesaian yang lebih holistik kepada industri sokongan kejuruteraan, dan industri jentera dan peralatan (M&E) yang mempunyai kemahiran lebih luas daripada beberapa pemain utama dalam industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Secara dasarnya, MDS Advance terlibat dalam perniagaan pemesinan logam kawalan berangka komputer (CNC) berketepatan tinggi, yang melibatkan pemotongan dan pengilangan logam.

 

Beroperasi pada landskap industri sokongan kejuruteraan, perniagaan pemesinan logamnya menghasilkan dan membekalkan produk perantaraan kepada pengilang dan pengeluar pengguna akhir dalam industri mesin dan peralatan.

 

Ahmad Faris berkata, pembelian saham itu konsisten dengan strategi jangka panjang perniagaan untuk meningkatkan asas-asas kumpulan dengan merebut peluang yang dapat melonjakkan lagi kami dalam trajektori pertumbuhan mampan serta pembentukan nilai secara berterusan.

 

Beliau menjangkakan bahagian pasaran yang lebih besar akan turut menyuntik kelebihan dari segi kedudukan strategik berbanding syarikat setara lain.

 

“Memandangkan pengambilalihan ini dapat memperkukuhkan perniagaan teras pembuatan dengan platform ke arah produk dengan margin lebih tinggi, langkah ini dijangka menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan dengan lebih ketara menerusi asas pendapatan lebih besar dan seterusnya meningkatkan nilai pemegang saham,” jelasnya. - DagangNews.com