KEMAMAN 12 Okt - Program konservasi tuntung sungai yang dilaksanakan di Kampung Pasir Gajah di sini sejak tahun 2011 berjaya menarik kedatangan pelancong ke Terengganu terutamanya peminat haiwan dan alam semulajadi.
Usaha konservasi itu dijalankan oleh Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (Turtle Conservation Society of Malaysia-TCS) dengan kerjasama kerajaan negeri serta beberapa syarikat korporat terkenal negara ini.
Pengasas TCS, Dr Chen Pelf Nyok berkata, status tuntung sungai kini dikategorikan sebagai sangat terancam dan usaha konservasi itu perlu dilakukan agar ia tidak pupus satu hari nanti.
"Sejak usaha konservasi ini dijalankan, kita telah berjaya mengeramkan lebih 7,000 telur tuntung dan menghasilkan lebih daripada 4,000 ekor anak tuntung.
"Anak tuntung itu kemudiannya dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman dan berdasarkan maklum balas dari penduduk kampung, ramai antara mereka kini telah menemui tuntung kecil dan juvenil di sungai tersebut.
"Ini membuktikan usaha konservasi ini berjaya mencapai matlamatnya kerana sebelum ini, penduduk kampung hanya terjumpa tuntung dewasa sahaja di dalam sungai," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Di Malaysia, penemuan tuntung sungai hanya direkodkan di tiga negeri iaitu Terengganu, Kedah dan Perak.
Justeru, kewujudannya itu boleh dimanfaatkan untuk menjadi daya tarikan pelancongan sekaligus membantu meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat sebagai lokasi pelancongan berasaskan komuniti (Community-based Tourism).
Mengulas lanjut, beliau berkata antara aktiviti yang paling digemari oleh pelancong apabila berkunjung ke Kampung Pasir Gajah ialah melepaskan tuntung ke dalam sungai.
"Ia pengalaman yang sangat menarik untuk dinikmati terutama untuk anak kecil dan remaja agar dapat mendidik mereka lebih menghargai alam semulajadi di kampung ini yang masih terpelihara dari sebarang pencemaran.
"Pelancong yang hadir juga boleh melawat Galeri Tuntung yang dibangunkan pada tahun 2017 oleh TCS dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu.
"Galeri ini pada asalnya adalah bilik stor dewan orang ramai Kampung Pasir Gajah dan ia adalah satu-satunya galeri tuntung air tawar di Malaysia setakat ini dan telah menerima lebih 5,000 pelawat sejak dibuka.
"Antara maklumat yang dipaparkan ialah mengenai tuntung, penyu dan kura-kura di Malaysia, serta pelbagai spesimen termasuk labi-labi," katanya yang sangat teruja dapat berkongsi kepakaran dan ilmu konservasi itu kepada pelancong yang datang.
Tambahnya, galeri itu juga berfungsi sebagai mini muzium dan juga pusat sehenti pendidikan untuk rujukan pelajar sekolah rendah dan menengah, kolej dan universiti agar lebih ramai mendapat manfaat dari usaha yang dilakukan pihaknya selama ini. - DagangNews.com