KKB Engineering berpotensi besar dalam gelombang infrastruktur di Sarawak, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

KKB Engineering berpotensi besar dalam gelombang infrastruktur di Sarawak, kata RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  22 Mac - RHB Investment Research mengekalkan keyakinan dalam pertumbuhan pendapatan KKB Engineering Berhad pada tahun kewangan 2023 (FY23) berikutan kedudukan baik kumpulan itu untuk memanfaatkan gelombang infrastruktur di Sarawak.

 

Projek infrastruktur berkaitan dengan air, perindustrian (minyak dan gas, hidrogen), dan mungkin, tenaga boleh diperbaharui dilihat boleh dimanfaatkan kumpulan, di mana menurut firma itu, prospek sedemikian disokong oleh daya tarikan kepada pelabur dengan negeri itu merekodkan nilai pelaburan penting ketiga terbesar sebanyak RM28 bilion tahun lalu.

 

KKB Engineering boleh memanfaatkan projek infrastruktur air di Sarawak, di mana negeri itu telah memperuntukkan RM125 juta untuk melaksanakan projek bekalan air dan RM900 juta lagi bagi projek di bawah Program Grid Bekalan Air Sarawak (SWP) untuk kawasan tertekan.

 

 “Dengan kemungkinan pelancaran SWP Fasa 2 tahun ini, KKB Engineering bersedia memanfaatkan rekod prestasinya memandangkan ia telah memperoleh lapan kontrak bernilai kira-kira RM250 juta untuk pembinaan dan pentaulihan bekalan air di bawah SWP Fasa 1,” kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Kedudukan KKB Engineering juga kian kukuh dengan projek fabrikasi keluli berikutan pelantikan kumpulan itu sebagai kontraktor utama perjanjian harga untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) platform kepala telaga standard untuk Sarawak Shell dan Sabah Shell Petroleum.

 

Selain itu, Sarawak Shell menganugerahkan kontrak AS$680 juta kepada Samsung Engineering pada Julai 2022 untuk membina loji gas darat untuk projek Rosmari Marjoram di Bintulu, di mana firma itu percaya KKB Engineering berpeluang untuk mendapatkan kerja fabrikasi keluli berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Samsung Engineering yang telah dimeterai pada Oktober 2021.
 

Malah, Samsung Engineering telah menganugerahkan jawatan kepada KKB Engineering di bawah Projek Metanol Sarawak untuk pembekalan pra-kejuruteraan membina struktur keluli pada FY22,” jelas firma itu.

 

Segmen fabrikasi keluli menyumbang kira-kira 33% daripada pendapatan segmen kejuruteraannya pada FY22.

 

Firma itu berkata, pemangkin akan datang adalah potensi penglibatan kumpulan itu dalam projek hidroelektrik Mentarang Induk di Kalimantan Utara bernilai AS$2.6 bilion, di mana Sarawak Energy mempunyai 25% kepentingan dalam syarikat induk projek itu.

 

Firma itu percaya sasaran harga kepada pendapatan (P/E) FY23 sebanyak 17x juga boleh diwajarkan oleh anggaran Sarawak untuk menyuntik RM100 bilion ke dalam ekonominya menjelang 2030 bagi mengembangkan infrastrukturnya.

 

“Dengan itu, kumpulan itu boleh menjadi pemain industri di Borneo yang strategik melalui 10.7% pegangan saham oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, meletakkannya di barisan hadapan untuk terlibat dalam inisiatif berkaitan negeri,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM1.72. -DagangNews.com