Khazanah tiada rancangan lupuskan pegangan saham dalam Malaysia Aviation Group buat masa sekarang - Amirul Feisal | DagangNews Skip to main content

Khazanah tiada rancangan lupuskan pegangan saham dalam Malaysia Aviation Group buat masa sekarang - Amirul Feisal

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Mac - Khazanah Nasional Bhd tidak mempunyai rancangan segera untuk melupuskan pegangan saham dalam Malaysia Aviation Group, pengendali syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines.

 

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya akan menunggu pengalaman pelanggan syarikat penerbangan itu diperkukuh.

 

Beliau berkata, pelan pemulihan mungkin mengambil masa sehingga 2025 - mengikut pelan pemulihan syarikat penerbangan itu - untuk meneroka peluang potensi menjual sahamnya dalam syarikat penerbangan itu.

 

“Kami mahu mengukuhkan syarikat penerbangan itu dari segi kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan. Apabila syarikat penerbangan itu diperkukuh (kelak), pilihan untuk kami kemudiannya lebih luas," kata beliau.

 

Amirul Feisal berkata syarikat penerbangan itu adalah positif tunai dan telah mampu berdikari dari segi kewangan.

 

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu mungkin memerlukan suntikan modal lagi daripada Khazanah untuk perbelanjaan yang lebih ketara seperti proses pembaharuan pesawat.

 

“Kami komited untuk melabur RM3.6 bilion bagi pelan pemulihan perniagaan, dan hanya RM1.3 bilion telah dikeluarkan setakat ini, jadi masih ada ruang untuk pertumbuhan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

 

parafrasa
Datuk Amirul Feisal Wan Zahir (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur, 21 Mac 2023.

 

 

Khazanah kini memiliki 100% daripada Kumpulan Malaysia Airlines.

 

Sementara itu, Amirul Feisal mengesahkan Khazanah tidak mempunyai pendedahan secara langsung kepada institusi kewangan asing yang runtuh Silicon Valley Bank dan Credit Suisse.

 

Menurutnya, beberapa syarikat penerima pelaburannya mempunyai urusan perniagaan dengan institusi kewangan, sekali gus diterjemahkan kepada pendedahan tidak langsung.

 

"Kami boleh mengesahkan bahawa kami tidak mempunyai urusan secara langsung dengan bank, termasuk pegangan saham, bon atau transaksi perniagaan," katanya. 
 


"Saya juga boleh mengesahkan bahawa pendedahan tidak langsung memberi kesan yang tidak ketara kepada operasi kami," tambahnya.- DagangNews.com