Keuntungan bersih Solarvest meningkat lima kali ganda kepada RM5 juta bagi 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Solarvest meningkat lima kali ganda kepada RM5 juta bagi 2QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Solarvest Holdings Berhad mencatatkan keutungan bersih sebanyak lima kali ganda iaitu kepada RM5 juta bagi 2QFY23 berbanding RM1 juta yang dicatatkan bagi suku sama pada tahun lalu.

 

Keuntungan itu disokong oleh hasil sebanyak RM98.2 juta atau peningkatan 224.8% dari tahun ke tahun daripada  RM30.2 juta bagi 2QFY22.

 

Penyumbang hasil utama kumpulan adalah segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) penyelesaian tenaga suria telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 112.8% kepada RM96.0 juta mewakili 97.9% daripada jumlah hasil dalam 2QFY23.

 

Baki RM2.1 juta diperoleh daripada operasi dan penyelenggaraan sistem tenaga suria, jualan elektrik melalui tenaga suria, dan aktiviti lain.

 

Bagi tempoh 1HFY23, perolehan Solarvest berjumlah RM150.8 juta manakala keuntungan bersihnya ialah RM9.3 juta.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya berbesar hati dengan pencapaian kumpulan itu selain gembira degan lanjutan perjanjian pembelian kuasa (PPA) 4 tahun untuk ketiga-tiga aset di bawah skim Solar Skala Besar (LSS4) juga akan meningkatkan kadar pulangan.

 

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan dua daripada projek itu menjelang Mac 2023 dengan sumbangan hasil daripada jualan elektrik dijangka akan terus meningkat. 

 

"Kami akan memanfaatkan pelepasan kuota aset solar fotovoltaik (PV) 600 megawatt (MW) di bawah Program Kuasa Hijau Korporat dan berharap dapat meningkatkan lagi kontrak tertuggak sebanyak RM662 juta.

 

"Kami sedang meneroka inovasi teknologi hijau dan sumber tenaga boleh diperbaharui yang lain kerana kami percaya penawaran tenaga boleh diperbaharui holistik dan penyelesaian karbon rendah akan bertindak sebagai tonggak penting dalam mengukuhkan kedudukan kami sebagai pakar tenaga bersih penjanaan semula," katanya. - DagangNews.com