Ketidaktentuan selepas PRU15, Bursa Malaysia terus catat aliran keluar asing - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan selepas PRU15, Bursa Malaysia terus catat aliran keluar asing - MIDF Research

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - Bursa Malaysia terus mencatatkan aliran keluar asing pada minggu lalu sebanyak RM81.9 juta setelah keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang berakhir 19 November 2022 gagal menyaksikan mana-mana gabungan parti politik membentuk kerajaan. 

 

Aliran keluar itu adalah lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM59.95 juta, demikian menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research. 

 

Pelabur asing mula menjual ekuiti tempatan pada Isnin sebanyak RM36.66 juta, tertinggi pada minggu lalu dan berterusan pada Selasa, Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM155.95 juta, RM56.57 juta dan RM42.49 juta.

 

Tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah produk dan perkhidmatan pengguna sebanyak RM132.6 juta diikuti penjagaan kesihatan (RM35.8 juta) dan perkhidmatan dan produk perindustrian (RM29.2 juta). 

 

Sektor perkhidmatan kewangan pula satu-satunya merekodkan pembelian bersih asing sebanyak RM103.2 juta.

 

"Hanya selepas keputusan pembentukan kerajaan diperoleh pada Khamis, pelabur asing menukar kedudukan mereka dengan membeli ekuiti tempatan sebanyak RM340.8 juta, satu-satunya aliran masuk yang dicatatkan minggu lalu.

 

"Tetapi, ia masih tidak berupaya mengimbangi jualan bersih yang direkodkan tiga hari sebelum itu. Malah, jualan asing kembali direkodkan pada Jumaat," jelasnya.

 

Pada 24 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebelum ini apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Sementara itu, menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan terus menjual ekuiti tempatan pada minggu lalu dengan aliran keluar sebanyak RM4.2 juta. 

 

Ia merekodkan jualan bersih yang tinggi pada Khamis dan Isnin masing-masing sebanyak RM158.69 juta dan RM21.65 juta, sebelum membeli ekuiti pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM64.96 juta dan RM46.87 juta.

 

"Pelabur runcit pula membeli ekuiti pada minggu lalu yang menyaksikan aliran masuk mingguan sebanyak RM85.91 juta. 

 

"Mereka memulakan dagangan dengan belian bersih bernilai RM189.35 juta sebelum kembali menjual ekuiti pada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM182.12 juta dan RM22.02 juta," katanya.

 

Setakat ini, firma itu mendapati dana antarabangsa telah membeli ekuiti selama 26 daripada 47 minggu tahun ini dengan aliran masuk bersih sebanyak RM5.83 bilion. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjual ekuiti selama 32 minggu dengan aliran keluar bersih sebanyak RM8.99 bilion manakal pelabur runcit membeli RM2.17 bilion ekuiti selama 30 minggu setakat tahun ini.

 

Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan bagi nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur runcit, institusi dan asing masing-masing sebanyak 67.37%, 62.23% dan 32.94%.

 

Pada minggu berakhir 25 November itu, indeks utama FBM KLCI ditutup lebih rendah pada 1,486.54 mata setelah susut 15.34 mata atau 1.02%. - DagangNews.com