Keterujaan terhadap pilihan raya umum rancakkan dagangan Bursa Malaysia pada 2023, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Keterujaan terhadap pilihan raya umum rancakkan dagangan Bursa Malaysia pada 2023, kata Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Okt - Kenanga Research menjangkakan sentimen pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang mungkin diadakan pada suku pertama tahun depan akan merancakkan nilai purata dagangan harian (ADTV) Bursa Malaysia Bhd. 

 

Ini mendorong firma itu menyemak naik harga sasaran Bursa Malaysia kepada RM6.50 daripada RM6.30 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'market perform'. 

 

Penganalisisnya, Clement Chua berkata, ADTV dijangka meningkat kepada RM2.23 bilion pada 2023 terutamanya dirangsang oleh perkembangan mengenai pilihan raya umum.

 

Katanya, pelabur akan berusaha meletakkan jangkaan mereka sejajar dengan keputusan pilihan raya dan menyelaraskan semula portfolio jika ramalan yang dibuat tidak tepat.

 

"Aliran keluar pelabur asing yang banyak juga boleh tercetus sekiranya ketidaktentuan dasar semakin bergelora akibat daripada keputusan pilihan raya umum. 

 

"Bagaimanapun, mungkin terdapat penyejukan secara beransur-ansur pada separuh kedua 2023 melainkan jika makroekonomi semakin kuat berkembang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pemangkin positif itu termasuklah konflik Rusia-Ukraine yang menemui jalan penyelesaian menggalakkan meskipun rangsangan sentimen mungkin tidak bertahan lama kerana usaha memulihkan ekonomi akan menjadi jangka sederhana.

 

Selain itu, jangkaan PRU-15 lebih awal dan pertumbuhan mampan harga komoditi akan terus menyokong dagangan saham kepada penerima manfaat.

 

Mengambil kira prospek positif itu, Chua menyemak naik unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 1% dan 3% dengan menaikkan sedikit paras ADTV bagi FY23. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Bursa Malaysia akan merekodkan pendapatan bersih antara RM50 hingga RM55 juta pada suku ketiga ini (iaitu susut 35% tahun ke tahun, susut 10% suku ke suku). 

 

"Ini kerana kami dapati ADTV pada suku ketiga adalah kira-kira RM1.62 bilion berbanding RM2.1 bilion pada suku kedua berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan global berpunca daripada langkah agresif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengetatkan dasar monetari.
 

Beliau berkata, pendapatan dagangan membentuk sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah pendapatan Bursa Malaysia dan berkemungkinan akan kekal sebagai bahagian terbesar kerana pendapatan lain daripada perkhidmatan penyenaraian dan depositori juga bergantung kepada sentimen keseluruhan pasaran ekuiti.

 

Setakat 10.13 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.32% kepada RM6.23 dengan 175,300 saham diniagakan. - DagangNews.com