Kerjasama TNB, GDS beri isyarat pertumbuhan positif pelaburan asing untuk pasaran pusat data di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kerjasama TNB, GDS beri isyarat pertumbuhan positif pelaburan asing untuk pasaran pusat data di Malaysia

(Dari kiri), Datuk Baharin Din, Kamal Arifin A Rahman, Jamie Khoo dan William Wei Huang ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada ESA di TNB Platinum, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pusat data serantau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan GDS IDC Services (Malaysia) Sdn Bhd (GDS) melalui penyediaan bekalan elektrik voltan tinggi kepada kampus pertama pusat data GDS di negara ini.


 
Kerjasama TNB-GDS melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (Electricity Supply Agreement (ESA)) itu dimeterai pada Oktober 2022, yang mana TNB menyasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga bagi kampus pusat data GDS di Nusajaya Tech Park, Johor Bahru menerusi perjanjian tersebut.


 
TNB telah mengambil langkah-langkah untuk membolehkan pusat data itu mula beroperasi pada Julai 2023 melalui bekalan sementara sebanyak 16MW. 

 

Persediaan sedang dijalankan untuk memastikan peningkatan permintaan maksimum sebanyak 85.5MW dapat disalurkan dalam tempoh 2023.


 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, melalui penyediaan bekalan tenaga, TNB melengkapkan dasar mesra pelaburan asing kerajaan untuk memupuk pasaran pusat data yang sihat dan membantu industri mencapai objektif perniagaannya.


 
"Sebagai perbadanan utiliti negara, TNB komited sepenuhnya dalam menyediakan bekalan elektrik tepat pada masanya dan berdaya harap mengikut tempoh masa yang dipersetujui," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada ESA yang diadakan di TNB Platinum, Bangsar, baru-baru ini.


 
Terdahulu, perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman dan Ketua Pegawai Operasi GDS, Jamie Khoo, sambil disaksikan oleh Baharin dan Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS, William Wei Huang.


 
Sambil menyatakan bahawa TNB dan GDS berkongsi matlamat dan cita-cita bersama ke arah masa depan lebih hijau, Baharin berkata, pihaknya yakin kerjasama dengan GDS mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta rakyat Malaysia. 

 

"Bagi menyokong aspirasi GDS untuk menjadi syarikat pusat data pertama yang mencapai neutral karbon, dengan penggunaan 100% Tenaga Boleh Baharu (TBB) menjelang 2030, TNB akan memperluaskan kerjasamanya dalam penyediaan penyelesaian tenaga pintar," katanya.


 
Tambah beliau, kerjasama ini adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara, yang mana ia terus didorong peningkatan penggunaan perkhidmatan berasaskan awan, IoT, analisis data besar dan kepesatan pendigitalan di rantau ini.


 
Sementara itu, William berkata, dengan komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan bekalan elektrik berdaya harap ke kampus pusat data di Johor, GDS berada pada kedudukan baik untuk menawarkan perkhidmatan pusat data bertaraf dunia di rantau ini, mengukuhkan lagi infrastruktur digital Malaysia dan mempercepatkan transformasi dan pertumbuhan digitalnya.


 
Di samping itu katanya, pihaknya berharap kerjasama dengan TNB dalam penggunaan TBB sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan kami, seperti penyelesaian hijau pintar, termasuk solar atas bumbung dengan GSPARX, penyelesaian sambungan dengan Allo, dan teknologi hijau baharu dengan TNB Renewables.


 
"Melalui kerjasama strategik ini, kami percaya kami dapat memberikan sumbangan penting untuk menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pusat data dan memacu ekonomi digital serantau," katanya.

 

Katanya, pihaknya berterima kasih atas sokongan dan usaha TNB untuk memupuk perkongsian yang bermanfaat di masa hadapan.


 
Dalam memacu peralihan tenaga negara, TNB memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian tenaga mampan bagi memupuk pasaran yang kondusif untuk pelabur tempatan dan asing. 

 

Inisiatif ini berpaksikan kepada aspirasi TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. - DagangNews.com