Kerajaan tangguh pelaksanaan duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan barang bernilai rendah - MOF | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tangguh pelaksanaan duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan barang bernilai rendah - MOF

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kuat kuasa pelaksanaan duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan ke atas barang serta perkhidmatan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

 

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, mengumumkan cadangan mengenakan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran yang mengandungi gula melebihi had 33.3 gram/100 gram.

 

Selain itu, ia turut melibatkan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG).

 

Katanya, ketiga-tiga inisiatif ini telah disyorkan untuk bermula pada 2023, namun mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terdapat keperluan untuk menetapkan semula tarikh kuat kuasa pengenaan ketiga-tiga duti dan cukai tersebut.

 

"Hal ini juga dapat memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi. 

 

"Selain itu, kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya," katanya.

 

Menurut MOF, pelaksanaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran adalah untuk meneruskan usaha kerajaan dalam menyokong strategi membendung arah aliran peningkatan penyakit diabetes, obesiti dan lain-lain penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan yang tidak seimbang. 

 

Selain itu katanya, peluasan skop kenaan cukai perkhidmatan untuk meliputi perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh syarikat bukan kurier bertujuan untuk memberikan layanan sama rata di antara semua penyedia perkhidmatan penghantaran barang. 

 

"Buat masa ini hanya perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat kurier sahaja dikenakan cukai perkhidmatan," katanya.

 

Katanya, peluasan skop kenaan cukai jualan untuk meliputi LVG iaitu barang bernilai RM500 ke bawah yang dijual secara dalam talian oleh peniaga luar negara dan diimport ke Malaysia adalah bagi memberikan layanan yang sama rata di antara barangan keluaran tempatan dan barangan yang diimport.

 

"Langkah ini juga bertujuan untuk merancakkan lagi permintaan domestik," katanya. - DagangNews.com