Kerajaan sedang muktamadkan inisiatif pencarum guna baki simpanan Akaun 2 KWSP sebagai cagaran pinjaman bank | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sedang muktamadkan inisiatif pencarum guna baki simpanan Akaun 2 KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kerajaan sedang memuktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 yang akan memberi kemudahan untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.

 

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, ia bagi memberi ruang kepada ahli yang mempunyai simpanan di dalam KWSP tetapi terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tunai, tanpa perlu membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka.

 

Katanya, inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah konvensional atau kadar keuntungan islamik yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat di dalam inisiatif ini dijangka di antara 4% hingga 5% setahun. 

 

"Kadar ini adalah jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar 8% hingga 15%," katanya.

 

Menurut MOF, Inisiatif ini juga tidak bercanggah Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan. 

 

"Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindung dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil serta mampan," katanya.

 

Katanya, maklumat terperinci mengenai inisiatif ini akan diumumkan oleh KWSP kelak.

 

Dalam pada itu, kerajaan tidak akan pertimbangkan sebarang pengeluaran tambahan baharu simpanan KWSP kerana pengeluaran khas tersebut merupakan langkah untuk membendung impak COVID-19. 

 

Malah, berdasarkan OECD, kesemua negara yang telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabung persaraan mereka semasa pandemik telahpun memberhentikan fasiliti pengeluaran awal daripada tabung persaraan sejak 2021. - DagangNews.com