Kerajaan perpaduan perlu bentuk Kabinet yang berwibawa tarik semula keyakinan pelabur, kata penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perpaduan perlu bentuk Kabinet yang berwibawa tarik semula keyakinan pelabur, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) perlu membentuk Kabinet yang berwibawa untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan komuniti perniagaan termasuk pelabur asing dan tempatan, demikian menurut penganalisis.

 

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pagi semalam.

 

Setelah hampir seminggu PRU15 berakhir Sabtu lalu, tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya membentuk kerajaan kerana tidak memperoleh kerusi majoriti di Parlimen.

 

Susulan itu, kerajaan perpaduan nasional dibentuk yang setakat ini membabitkan penyertaan tiga komponen utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mewakili 135 kerusi.
 

Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia berkata, kerajaan perlu melakukan penyusunan semula Bajet 2023 dengan pantas, mewujudkan keutamaan ekonomi kerajaan dan melaksanakan pembaharuan fiskal dan ekonomi.

 

Malah, katanya, kerajaan juga perlu memperkenalkan inisiatif untuk merasionalisasikan subsidi serta langkah untuk menyatupadukan negara memandangkan perpecahan politik yang semakin mendalam selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

 

Alexander Chia dari RHB
Alexander Chia

 

 

"Pelabur akan melihat dengan teliti sama ada kerajaan mampu menawarkan kestabilan politik dan kesinambungan dasar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB IB mendapati perdana menteri yang baru dilantik akan mendapat sokongan 147 Ahli Parlimen, majoriti meyakinkan, yang hanya kurang sedikit daripada dua pertiga.

 

Jangka hayat

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kebimbangan mengenai jangka hayat kerajaan baharu, jika kerajaan perpaduan terdiri daripada PH, BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa calon bebas.

 

"Kerajaan baharu adalah perwakilan yang baik bagi bahagian rentas masyarakat dan pendekatan yang lebih sederhana akan mengurangkan risiko pengawalseliaan.

 

"Walaupun kita tidak boleh menolak risiko kerajaan mengekalkan kecenderungan untuk meneruskan langkah populis, kepimpinan baharu perlu memahami bahawa beberapa keputusan sukar perlu diambil demi kepentingan jangka panjang negara," tegasnya.

 

Chia juga percaya kepimpinan PH telah mengambil iktibar daripada pentadbirannya selama 22 bulan di Putrajaya setelah menumbangkan BN pada PRU14 dan akan mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, terdapat risiko ketidakstabilan politik dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan pembentukan kerajaan perpaduan merangkumi tiga gabungan utama.

 

Menurutnya, jika BN keluar daripada kerajaan dalam tempoh terdekat, PH dan pakatan Borneo masih boleh mentadbir tetapi dengan majoriti yang tipis.

 

"Kami berpendapat pembaharuan dasar ekonomi yang utama dan jangka panjang mungkin tidak berjalan dengan lancar kerana setiap parti dan gabungan dalam kerajaan perpaduan mempunyai kepentingan dan agenda reformasi yang berbeza.

 

"Malah, tidak jelas sama ada kerajaan perpaduan baharu hanya akan memasukkan inisiatif daripada manifesto PH atau gabungan program daripada kedua-dua manifesto PH dan BN," katanya. - DagangNews.com