Kerajaan mungkin semak semula peruntukan pembangunan dalam Bajet 2023 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mungkin semak semula peruntukan pembangunan dalam Bajet 2023 - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kemungkinan menyemak semula peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu, demikian menurut RHB Investment Bank.

 

Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM95 bilion, meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan RM64 bilion pada 2021.

 

Menurut penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim terdapat kemungkinan peruntukan itu akan dikurangkan terutama sekiranya kerajaan tiada perancangan untuk mengembangkan hasil negara seperti pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

 

Katanya, semakan semula itu akan menyebabkan nilai kontrak yang lebih rendah dianugerahkan kepada kontraktor, sekali gus menjejaskan keterlihatan pendapatan syarikat pembinaan.

 

"Sebagai alternatif, kos projek masih boleh kekal utuh tetapi cenderung kepada inisiatif pembiayaan swasta (PFI) untuk projek kerajaan, yang hanya akan memanfaatkan kontraktor dengan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh.

 

"Walaupun begitu, PFI masih membebankan kontraktor, jika mereka tidak dapat mengukuhkan atau mengekalkan kunci kira-kira," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Di bawah Bajet 2023 yang diumumkan sebelum ini, sebanyak RM16.5 bilion akan disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), RTS Link dan Central Spine Road.

 

Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.

 

 

mrt corp

 

 

Projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 membabitkan stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral juga sudah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023.

 

Bagi projek MRT3 pula, ia adalah komitmen kerajaan bagi melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer.

 

MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada 2028 manakala Fasa 2 pada 2030 membabitkan kos sebanyak RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan 2023 sebanyak RM3.3 bilion.

 

Adam berkata, beliau tidak menolak risiko terhadap kos MRT3 (panduan pentadbiran sebelum ini ialah RM34.3 bilion) dan pelaksananaan semula kerja-kerja yang ditinggalkan sebelum ini untuk LRT3 (bernilai RM 1 bilion) untuk diuruskan oleh kerajaan.

 

Ini berikutan keputusan Perdana Menteri untuk mengkaji semula projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang telah diluluskan oleh pentadbiran terdahulu melalui rundingan terus.

 

Namun, menurutnya, syarikat yang dikaitkan dengan projek tebatan banjir yang diluluskan itu masih belum diketahui.

 

"Pada Mac lalu, terdapat lapan syarikat termasuk Gamuda Bhd., IJM Corp. Bhd. dan Malaysian Resources Corp. Bhd. (MRCB) mengemukakan cadangan bagi projek tebatan banjir bernilai antara RM5 hingga RM15 bilion.

 

"Salah satu cadangan termasuklah Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir 2 (SMART 2) daripada Gamuda yang melibatkan terowong bawah tanah sepanjang 22 kilometer merangkumi anak sungai, saluran pemintas dan sistem yang mengepam air banjir ke laut," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Beliau berkata, semakan semula tersebut bukan sahaja menjejaskan sentimen terhadap kontraktor berskala besar tetapi juga kontraktor peringkat kedua yang akan mendapat manfaat daripada subkontrak.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan, kerana risiko pengawalseliaan mungkin memberi kesan kepada kuantum aliran kerja pada masa akan datang. 

 

Di samping itu, halangan berterusan seperti masalah kekurangan tenaga kerja juga masih kekal jika tidak diurus dengan baik. 

 

Dalam tempoh 11 bulan tahun ini, firma itu mendapati sebanyak RM117.5 bilion nilai kontrak telah dikeluarkan. 

 

"Dengan kemungkinan kelewatan pakej kerja awam MRT3 kepada suku pertama 2023 dari suku keempat 2022, jumlah nilai projek yang diberikan tahun ini dijangka lebih rendah berbanding 2021 yang mencatatkan nilai kontrak bernilai RM133.1 bilion.

 

"Sementara itu, kami berpendapat masalah kekurangan buruh mungkin dapat diselesaikan paling awal pada suku pertama 2023, memandangkan kontraktor masih menunggu kelulusan dan ketibaan pekerja asing," jelasnya. - DagangNews.com