Kerajaan baharu perlu pastikan hala tuju pemodenan ATM dilaksana segera | DagangNews Skip to main content

Kerajaan baharu perlu pastikan hala tuju pemodenan ATM dilaksana segera

Pembelian meriam M109A5 dari Amerika Syarikat ini dibatalkan pada 2019 walaupun ia diperlukan ATM.
ANALISIS BERITA oleh ZAKI SALLEH

SEHINGGA Menteri Pertahanan baharu dilantik, hala tuju serta perancangan bagi perolehan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibimbangi tergganggu dan boleh menyebabkan kelewatan.

 

Kerencatan juga boleh terjadi sekiranya perancangan yang telah digariskan ini diubah seperti memilih firma lain dan bukan sepertimana yang telah diputuskan.

 

Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi sebahagian daripada komponen kerajaan baharu Malaysia misalnya sebelum ini dilihat cenderung mempertikai perolehan-perolehan ATM.

 

PH kerap membidas rancangan perolehan yang dirancang dengan alasan penyelewengan walaupun pembelian belum dibuat dan masih dibincangkan.

 

Antaranya dakwaan skandal pembelian meriam Self Propelled Howitzer (SPH) yang melibatkan peruntukan sekitar RM854 juta.

 

 

meriam
Caesar 155mm Self Propelled Howitzer System suatu masa dahulu pernah meredah ladang kelapa sawit di Malaysia.


 

Sebaliknya, Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Oktober lalu mengesahkan tender perolehan meriam SPH untuk kegunaan Tentera Darat  belum diserahkan kepada mana-mana syarikat.

 

Tender untuk projek membabitkan peruntukan RM854 juta itu masih lagi berjalan.

 

Selain merangka Kertas Putih Pertahanan (KPP) semasa menjadi kerajaan lepas, PH dilihat tidak banyak mengetengahkan perancangan baharu untuk memajukan aset-aset ATM ketika itu.

 

Disebabkan Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini belum diluluskan maka pembentangan semula akan dilakukan cuma adakah jumlah dan keperluannya masih sama?

 

Pada pembentangan lalu, kerajaan terdahulu memperuntukkan RM17.4 bilion kepada Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

Ia merangkumi pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu RM4 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan.

 

Angka ini juga jauh daripada apa yang disuarakan oleh kepimpinan kanan ATM yang meletakkan jumlah lebih relevan iaitu antara RM24 bilion hingga RM25 bilion.

 

Antara yang telah diumumkan ialah perolahan dron buatan Turkiye dan pesawat rondaan maritim ATR-72MP daripada firma Leonardo.

 

 

ATR-72MP
Pesawat ATR-72MP buatan Leonardo

 

 

Dua hari selepas Bajet 2023 dibentangkan, diumumkan juga sebanyak 136 kenderaan jenis A 4x4 akan dibeli menerusi peruntukan itu.

 

Perolehan sebanyak RM2.049 bilion ini juga turut melibatkan pelbagai kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.

 

Pada masa sama, negara dijangka membelanjakan dantara RM4 bilion hingga RM8 bilion untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang ringan (LCA).

 

Ia menerusi dua fasa perolehan bagi menggantikan pesawat pejuang MiG-29N, Hawk 100, Hawk 200 serta Aermacchi MB-339.

 

Bagaimana pun, setakat ini tiada petanda bila Mindef akan mengumumkan pemenang tender untuk membekalkan pesawat pejuang ringan tersebut walaupun tempoh pelaksanaan itu telah tamat.

 

Dalam hal perolehan, pembatalan boleh berlaku sekiranya kerajaan mendapati ada justifikasi tertentu untuk melaksanakan keputusan tersebut.

 

Pada Mac 2016 misalnya, Tentera Darat telah menerima tawaran membeli 30 buah sistem artileri mudah gerak (SP) terpakai M109A5 Paladin dari Amerika Syarikat menerusi program Excess Defence Articles (EDA).

 

Daripada jumlah ini, 24 akan digunakan kembali manakala bakinya dijadikan alat ganti.

 

Meriam terpakai ini akan dinaik taraf dengan sistem pengendalian yang baharu dan dikatakan sesuai dengan keperluan ATM untuk mempunyai pasukan artileri SP bagi digandingkan dengan briged armor.

 

Pembelian meriam M109A5 ini bagaimana pun senyap sebelum diumumkan batal oleh ATM pada 2019 tanpa memaklumkan sebab pembatalan secara terperinci.

 

Pada tahun sama juga, kerajaan pada masa itu telah mula mempertimbangkan untuk membatalkan pembelian helikopter peninjau MD530G disebabkan isu kelewatan penerimaan.

 

 

heli
Helikopter MD530G dihasilkan oleh syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), MD Helicopter Inc.


 

Halaman Optima Sdn Bhd (HOSB) telah dianugerahkan kontrak penghantaran helikopter itu bernilai RM321 juta oleh Mindef pada 2015.

 

Pada 2017, Destini Group memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti dalam HOSB melalui anak syarikat milik penuhnya Destini Prima Sdn Bhd.

 

Kesemua enam helikopter dapat diserahkan kepada ATM pada Mac lalu selepas pemeriksaan prapenghantaran selesai.

 

Ada kemungkinan juga projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) keenam yang masih belum dimulakan dibatalkan atas faktor kos demi mengelak kerugian.

 

 

LCS

 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasannya di Parlimen pada Ogos lalu mencadangkan agar fasa keenam projek LCS itu dihentikan susulan teguran oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

 

Anwar yang masa itu merupakan ketua pembangkang bagaimana pun memberitahu, semua fasa-fasa yang masih dalam pembinaan hendaklah diteruskan.

 

Ketika ini Fasa Mobilisasi Projek LCS untuk memulakan kembali pembinaan kapal yang tergendala hampir selesai dan dimuktamadkan pada penghujung Disember ini.

 

Kos tambahan akan ada, justeru ia juga perlu diberikan perhatian agar program mobilisasi ini nampak relevan.

 

Dengan jangkaan situasi ekonomi negara yang lebih mencabar pada tahun hadapan, berkemungkinan kerajaan perlu berhati-hati dalam mengeluarkan perbelanjaan.

 

Bagaimana pun, pertimbangan sewajarnya hendaklah diberi pada isu perolehan aset-aset ATM kerana pada masa sama keperluan ini tidak boleh dipinggirkan.

 

Negara perlukan aset pertahanan yang baik kerana ia menjadi elemen cegah rintang dalam mengimbangi isu-isu keselamatan sedia ada. - DagangNews.com