Kepentingan sastera lisan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 6 March 2023

KEPENTINGAN SASTERA LISAN

 

 

ninot aziz

 


 

"Kita mempunyai Sastera yang besar". - Prof Muhammad Hj Salleh

 

 

Cerita rakyat. Sastera lisan. Folklor

SEKIAN lama sastera lisan semakin hilang dari pertuturan dan penceritaan, kehidupan seharian. Kenapakah cerita rakyat begitu penting? Apa yang mendorong penulis untuk cuba bertungkus lumus menghidupkan sastera lisan?

 

Mungkin, jika penceritaan legenda dan folklor tiada, ada kebarangkalian sesuatu tamadun itu akan lenyap sama sekali. 

 

Cerita epik diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya, dan melalui kisah sebegini, pelbagai pengetahuan diturunkan. Contohnya, adat resam, ilmu, nilai murni, penjagaan tanah dan harta, perdagangan dan ekonomi zaman purba.

 

Yang paling penting, struktur kerajaan dan kebijaksanaan pemimpin, atau kesilapan masa lampau yang menjadi teladan hingga kini. 

 

Mari kita lihat cerita rakyat dunia yang berkekalan hingga hari ini. Sama ada dalam bentuk hikayat, mitos, epik, legenda dan cerita rakyat. 

 

Zaman Klasik Yunani

Legenda Zeus, Dewa di Langit, Poseidon Dewa Lautan yan luas dan Hades yang menguasai dunia di perut Bumi yang mengerikan mewarnai mitos Yunani yang paling tersohor. Hasilnya, dua legenda paling terkenal iaitu puisi epik Illiad dan Odyssey oleh penyair  Homer dikenali seluruh dunia pada satu masa, mengilhamkan karya agung sastera, seni dan satu masa dulu, filem-filem blockbuster. 

 

Walaupun kita tidak tahu di mana letaknya Troy, tetapi kita tahu kisah kuda trojan yang kini memberikan gambaran sesuatu yang gah, kisah cinta dan pengkhianatan, perisikan dan konflik Yunani yang paling hebat. Kita kenali artifak Yunani yang menjadi simbol keindahan. 


 

tnb

 


Greece kini masih menjadi satu negara yang dapat menarik pelancong seluruh dunia untuk melihat artifak dan bangunan peninggalan sejarah - demi kisah kisah terunggul yang masih meniti bibir dan minda di zaman moden. 

 

Legenda China

Sejarah China sememangnya dilestarikan melalui penulisan dan rekod lama sekitar 5,000 tahun dahulu. Berdasarkan  kesusasteraan dan kepentingan yang dikekalkan hingga hari ini, China terus mempertahankan bahasa, budaya, keunikan,  dan perkembangan ilmu pengetahuan dengan cara tersendiri. Dinasti Shang, Tang dan Ming antara era begitu menarik. 

 

Ada kebaikan dan keburukan, tetapi China amat cemburukan pengaruh asing ke negaranya dan menyekat pengaruh budaya asing. Apa yang nyata, China kini antara tamadun dunia paling terserlah serata dunia dengan pengetahuan purba perubatan, sistem penulisan, penerbitan, seni visual, peperangan dan ilmu bedil antara tertua di dunia. 


 

ninot aziz

 


Kisah Naga Ular Putih, popular hingga kini. Puisi Li Bai diagungkan lebih 1,300 tahun kemudian. Rangkap peribahasa Chengyu diilhamkan seribu kisah pendek menarik menjadi teladan nilai nilai murni tamadun China. 

 

Tamadun Purba  Mesir

Mungkin jika seorang sarjana muda Jean Francois Champollion tidak wujud pada zaman Napoleon, keagungan tamadun Mesir masih menjadi misteri dan tanda tanya. Pada  tahun 1814, Champollion mulai mentafsir batu Rosetta lalu menjadi penterjemah yang dapat membaca kisah peradaban tertua Mesir. 

 

Hieroglif Mesir, akhirnya dibongkar Jean Francois Champollion. Mengapa batu rosetta yang kini tersimpan di Muzium British itu begitu penting? 

 

 

rosseta

 

 

Batu rosetta yang ditulis dalam tiga aksara mengandungi tulisan hieroglif Mesir kuno yang tidak difahami langsung turut mengandungi terjemahan Yunani serta aksara Cartouches.  Ini membolehkan Champollion memahami struktur penulisan hieroglif. Lebih penting, ia merupakan kekunci untuk mengetahui dan mengingat peristiwa penting dalam sejarah kuno Mesir dan membuka peradaban masa silam. 

 

Dengan itu dunia mengenal Osiris, Isis, Cleopatra dan semua legenda Mesir sehingga kini. 

 

Hikayat dan cerita rakyat Malaysia

Dari penghuraian di atas, kita dapat lihat, tanpa kesusasteraan berwibawa dan indah, kita tidak dapat membayangkan tamadun dunia. 

 

Sastera lisan kita berkembang mementingkan cerita dan wira serta srikandi yang begitu hebat tanpa kita ketahui siapa pengarang asalnya. Berdasarkan kekuatan jalan cerita yang menyentuh perasaan atau zeitgeist semasa, kisah sejarah, percintaan, peperangan, terus kekal. 

 

Setiap lokasi mempunyai rahsia tersendiri. Batu Gajah. Gunung Santubong. Tasik Dayang Bunting. Tasik Pulau Pauh Janggi yang mistik. Gunung Jerai. Primula.  


 

ninot aziz

 


Gunung Ledang

Detik sejarah yang membawa kita ke zaman ini, liku-liku pengorbanan dan pengkhianatan. Keilmuan yang tidak lagi disebut. Dilupakan walaupun ia begitu bernilai. 

 

Kita memelihara hutan belantara beratus tahun sebelum kelestarian itu menjadi sesuatu agenda dunia.  Setiap batu. Pepohon. Sungai yang mengalir deras itu dilindungi. 

 

Tetapi kini, kita lupa akan amanat ini. 

 

Sastera lisan memulihara satu sejarah
Sejarah kehidupan dan ketamadunan

 

Sastera Lisan pelbagai versi ditokok tambah setiap peredaran zaman. Namun ini satu pengubahsuaian  dari aspek luaran. Karektor, nilai semasa dan penceritaan pada dasarnya terus bertahan.

 

Ia adalah cerminan kehidupan  masyarakat pribumi termasuk kaum Melayu secara silam.  Adat resam itu darah daging sastera lisan yang kemudiannya disemadikan dalam manuskrip Melayu. 

 

Melalui Sastera Lisan ini, segala kepentingan membangunkan bangsa, bahasa dan budaya dipelihara, dipulihara dan diperkasa untuk generasi berikutnya.  

 

Penglipur lara

Penglipur lara mampu menghidupkan penceritaan agar menghiburkan dan mudah diterima serta diceritakan. 


 

ninot aziz

 


Penceritaannya meliputi dunia kayangan, di lautan luas dan di bumi. Di gunung ganang dan bukit bukau. 

 

Penceritaan penglipur lara mengandungi ungkapan indah menunjukkan penglipur lara tidak kurang hebatnya dari Homer. Tamadun Melayu itu patut berada di antara tamadun tersohor dunia.

 

Kita tidak boleh lagi mengharapkan orang  lain mengangkat sastera kita. Kita mesti membawanya ke dunia di luar sana. Cerita tragedi. Jenaka. Teladan. Haiwan. Dan bermacam lagi. 

 

Sastera lisan telah menggalas tanggungjawab memastikan keterampilan budaya dan bahasa lama kekal hingga hari ini. 

 

Kini, kita bertanggungjawab melestarikan sastera lisan segala suku etnik yang ada di negara kita. 

 

Ia satu amanat besar.

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags