Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan Uzma bagi FY22-FY24 didorong kontrak yang lebih baik | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan Uzma bagi FY22-FY24 didorong kontrak yang lebih baik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Dis - Kenanga Research menaikkan unjuran pendapatan Uzma Berhad FY22-FY24 sebanyak 23%-4% selepas mengambil kira kontrak yang lebih kukuh dan margin keuntungan yang lebih baik. 

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana menjadi proksi yang baik kepada kenaikan harga minyak selain menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti perkhidmatan perigi, peningkatan dan pengeluaran minyak yag optimum serta operasi dan penyelenggaraan lewat hayat.

 

Katanya, prospek jangka panjang kumpulan itu juga sangat positif terutama selepas penglibatannya dalam ruang tenaga suria.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) 67 sen berbanding 64 sen sesaham.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk penurunan harga minyak sekali gus memberi kesan terhadap aktiviti minyak serta gas, peningkatan kos projek akibat kelewatan projek selain kenaikan kos input," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras 1QFY23 sebanyak RM13.6 juta mengatasi jangkaan masing-masing mencapai 80% dan 84% daripada unjuran setahun penuh dan anggaran konsensus setahun penuh.

 

Perbezaan terhadap unjuran sebahagian besarnya datang daripada pengiktirafan yang lebih kukuh terhadap pesanan kerja serta margin keuntungan yang lebih baik untuk perniagaan minyak dan gas huluannya.

 

Firma itu berkata, pendapatan 1QFY23 meingkat lebih tiga kali ganda kesan daripada pesanan kerja yang lebih tinggi serta margin yang lebih baik kerana tahun lalu dihalang oleh kos yang lebih tinggi yang timbul daripada pandemik.

 

"Keuntungan teras juga melonjak 66%, sedikit dibantu oleh jualan yang bertambah baik daripada bahagian dagangannya, tetapi lebih ketara disebabkan oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah untuk pembalikan lebihan peruntukan pada tahun kewangan sebelumnya," katanya. - DagangNews.com