Kenanga Research kekal saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan | DagangNews.com Skip to main content

Kenanga Research kekal saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan selepas mengambil kira prospek bank kekal mampan dan berdaya tahan dengan peralihan asas menyokong pendapatan jangka sederhana.

 

Firma itu berkata, walaupun berlakunya kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi namun risiko jangka sederhana tidak kelihatan kerama pengurusan aset berkualiti.

 

"Bagi mereka yang mempunyai tahun kewangan berakhir Disember, 4QFY22 dijangka secara asasnya tidak mengejutkan kerana prestasi pinjaman kekal kukuh sejak sembilan bulan lalu.

 

"Margin faedah bersih (NIM) mungkin menyaksikan perubahan kerana persaingan sengit berterusan untuk deposit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, risiko pendapatan terbesar adalah peruntukan tinggi luar jangka untuk kemerosotan dan/atau peruntukan yang lebih besar, walaupun kebanyakan syarikat korporat ketinggalan di belakang panduan kos kredit mereka.

 

Bagaimanapun, firma itu menekankan bahawa prospek jangka sederhana mungkin mencabar kerana prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 dijangka lebih perlahan berbanding 2022 yang mungkin diterjemahkan kepada pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah.

 

Firma itu berkata, tempoh pemerhatian yang lebih lama mungkin diperlukan untuk menilai sepenuhnya kebimbangan terhadap pembayaran balik pinjaman.

 

"Tekanan yang dinyatakan di atas pada NIM juga berkemungkinan hanya bertambah buruk. 

 

"Sebaliknya, penampan rosot nilai dan pengurusan akan digunakan oleh bank, jika tidak diperbaharui dengan peruntukan selanjutnya," katanya. - DagangNews.com