Kenaikan pakej umrah, mengapa Arab Saudi tidak buat apa-apa? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 16 January 2023

Kenaikan Pakej Umrah, Tetapkan Garis Panduan

 

 

ISU peningkatan mendadak harga bagi mengerjakan umrah kecoh baharu-baharu ini bila harga untuk mengerjakan umrah ini naik melebihi 50%. 

 

Walaupun kenaikan ini di luar kawalan kita ataupun agensi haji dan umrah, apa yang dikhuatiri kenaikan ini akan membebankan masyarakat yang mahu mengerjakan umrah.

 

Kenapa naik mendadak?

Kenaikan mendadak ini kerana permintaan yang tinggi melebihi penawaran. Jumlah permintaan (jemaah) yang banyak ini berlaku apabila  Kerajaan Arab Saudi membenarkan penggunaan visa pelancong bagi yang mahu mengerjakan umrah.

 

Secara teorinya kenaikan harga naik secara mendadak ini terjadi apabila permintaan melebihi penawaran. Dalam analisa ekonomi, model penawaran dan permintaan telah menerangkan dengan jelas keadaan ini.

 

Antoine Augustin Cournot dan Alfred Marshall telah menjelaskan dalam pasaran bebas yang sempurna, apabila sesuatu permintaan barang atau perkhidmatan  melebihi penawaran, ia boleh  menyebabkan  harga sesuatu barang atau perkhidmatan itu akan meningkat.

 

Apabila jumlah permintaan yang tinggi, terdapat dua faktor atau pemboleh ubah yang akan bergerak selari dengan jumlah permintaan yang tinggi iaitu pengangkutan dan hotel.


 

volatiliti

 


Kos “overhead” diserap ke dalam tambang

Bila jumlah permintaan yang tinggi, penerbangan juga banyak diperlukan. Kebanyakan pesawat tidak digunakan dalam tempoh yang agak lama kerana COVID-19.

 

Untuk membolehkan pesawat “terbang semula” pesawat perlu menjalani pemeriksaan yang terperinci  dan memakan masa yang panjang sekurang-kurangnya 6 bulan.

 

Bagi menjalankan pemeriksaan ini memerlukan kakitangan yang mahir. Ada banyak kakitangan yang perlu dilatih semua bagi menjalankan tugas ini.

 

Untuk menampung kos “overhead” ini syarikat penerbangan terpaksa menyerapkan ke dalam harga tambang yang dikenakan ke atas agensi haji dan umrah ini.

 

Selain itu, harga minyak mentah yang meningkat juga menyebabkan harga bahan api pesawat juga turut meningkat.

 

Kos yang ditanggung oleh pihak hotel

Dari perspektif kos sewaan hotel, akibat COVID-19, jumlah jemaah yang datang ke Mekah dan Madinah sangat sedikit sehingga hampir semua hotel berhenti beroperasi. Ada juga hotel di Mekah dan Madinah hampir “muflis” dek kerana keadaan ini.

 

Kini, apabila jumlah jemaah yang semakin meningkat, pihak hotel perlu membuat kerja pembersihan dan penambahbaikan kerana hotel-hotel ini telah “ditinggalkan lama”. Bagi menjalankan proses pembersihan, ramai tenaga kerja diperlukan.


 

volatiliti

 


Kebanyakan pekerja hotel-hotel di Mekah dan Madinah adalah warga asing yang mana mereka telah kembali ke negara asal mereka ketika pandemik melanda. Untuk memanggil mereka semula, ia melibatkan kos untuk penerbangan dan visa pekerja mereka.

 

Main harga

Ya, kita faham tentang kos yang terpaksa ditanggung oleh pihak hotel ini.

 

Namun begitu, apa yang membimbangkan apabila pihak hotel di Mekah dan Madinah  ini “bermain dengan harga” sewaan bilik hotel.

 

Kenaikan yang melampau

Kos sewaan bilik hotel yang naik agak tinggi. Sebagai contoh, harga sebuah bilik  di Hotel Al-Safwah yang berharga RM500 semalam dan kini boleh mencecah antara RM1,500 hingga  RM2,000 semalam.

 

Kalau nak naik harga pun biarlah berpada-pada. Ini kenaikan yang sangat “melampau”.

 

“Lelong” bilik hotel

Apa yang berlaku, ialah apabila pihak pengurusan hotel di Mekah dan Madinah yang tidak akan memberikan  pengesahan atau kata putus tentang bilik penginapan kepada agensi-agensi haji dan umrah ini walaupun mereka sudah membuat pembayaran penuh kepada pihak hotel.

 

Kenapa pengesahan tidak dibuat terus oleh pihak hotel?


 

mekah

 


Pihak hotel mahu melihat kepada permintaan semasa dan harga pasaran semasa. Bilik hotel bukan barang yang nak dilelong. Harga boleh naik sesuka hati dan berubah.

 

Ini yang berlaku. Pihak hotel akan membuat pengesahan kepada agensi haji dan umrah di saat akhir dan dengan harga yang baharu yang lebih tingi.

 

Dek kerana pengesahan dibuat di saat akhir,  mahu tidak mahu agensi haji dan umrah ini terpaksa bersetuju dengan harga yang ditetapkan oleh pihak hotel.  Kos yang tinggi  ini akan menjadi bebanan kepada agensi haji dan umrah.

 

Tetap garis panduan

Kerajaan Arab Saudi perlu campur tangan dan bertindak segera. Apa tindakan segera yang perlu dilakukan adalah dengan menetapkan garis panduan kepada pengusaha hotel .

 

  1. Garis panduan perlu menetapkan agar pihak pengusaha hotel tidak sewenang-wenangnya menaikkan kadar sewa hotel.  Perlukan tentukan “harga lantai dan harga syiling” supaya harga sewaan hotel ini tidak melambung terlalu tinggi.


    Dengan kenaikan yang tinggi ini bukan “jalan pintas” untuk pengusaha hotel di Mekah dan Madinah untuk “mengaut” keuntungan kembali. Hatta jika di naikkan pun, biar lah yang munasabah! 

 

  1. Garis panduan itu juga perlu menetapkan agar pihak hotel tidak boleh membatalkan tempahan bilik daripada agensi haji dan umrah pada saat akhir.

 

  1. Pihak jemaah tidak boleh mengubah perjanjian dengan menukar lokasi tempahan yang telah dibuat kepada hotel lain.

 

  1. Garis panduan juga perlu meletakkan syarat penalti boleh dikenakan kepada pengusaha hotel yang  melanggar perjanjian sama ada menaikkan harga sesuka hati, membatalkan tempahan atau menukar lokasi dengan membayar ganti rugi.

 

Jika garis panduan ini dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi,  sedikit sebanyak boleh mengurangkan kebimbangan agensi haji dan umrah dan masyarakat yang mahu umrah.

 

“Menang-menang” kepada semua

Dari faktor lain, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat juga membawa peningkatan kos terutamanya kos  pengangkutan.


 

mekah

 


Dalam situasi semasa, agensi haji dan umrah di Malaysia boleh “bertimbang rasa” dengan pakej yang ditawarkan kepada jemaah umrah agar tidak terlalu membebankan.

 

Dalam masa yang sama, apa yang diharapkan agar Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Arab Saudi turut memikirkan penyelesaian terbaik buat semua pihak. – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags