Ken Neoh dilantik Ketua Pegawai Pemasaran Ramssol mulai 1 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Ken Neoh dilantik Ketua Pegawai Pemasaran Ramssol mulai 1 Mac 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Ken Neoh atau Neoh Tze Chien dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) baharu Ramssol Group Bhd berkuat kuasa 1 Mac 2023.

 

Beliau akan memikul tanggungjawab mengetuai bahagian komunikasi Ramssol dan menyelia semua aktiviti pemasaran, termasuk pengurusan jenama, pengiklanan dan pemasaran produk.

 

Selain itu, Ken juga akan menjadi ketua Rams Marketing Tech, salah satu tonggak tumpuan utama syarikat untuk tahun ini.

 

“Pelantikan tersebut dibuat berikutan pengambilalihan Infinite Loop Media Sdn Bhd, sebuah agensi media digital dan studio pengeluaran multimedia kreatif, oleh Ramssol baru-baru ini, yang diasaskan oleh Ken selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu,” kata Ramssol dalam kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, Ken telah memainkan peranan penting dalam membina portfolio projek Infinite Loop Media dan meluaskan jangkauannya merentasi pelbagai pelanggan, bertumpu kepada meningkatkan jenama mereka melalui reka bentuk, pengiklanan dan pemasaran digital.

 

Ken mempunyai lebih daripada 15 tahun pengalaman pengurusan kanan di luar negara dan antarabangsa bekerja dengan syarikat multinasional bertaraf dunia serta memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Malaysia, dalam jurusan teknologi komunikasi. 

 

Beliau juga merupakan perunding panel untuk Kementerian Pendidikan, Program Teknikal dan Vokasional Malaysia, perunding untuk Pusat Ekonomi Digital Johor dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia, Jurulatih Bertauliah Malaysia.

 

Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng melihat latar belakang Ken yang kukuh akan meneruskan rancangan kumpulan untuk memajukan pelan hala tuju strategik ‘People Solution’ pada tahun ini dan seterusnya, khusus dalam bidang reka bentuk dan peningkatan pengalaman pengguna.

 

Menurutnya, pelantikan tersebut akan menjadi sinergi yang tinggi untuk kumpulan tersebut melancarkan aplikasi Rider Gate, sebuah pasaran dalam talian untuk mengubah perdagangan motosikal oleh penunggang dan pengedar individu, disokong oleh rangkaian penyelesaian hujung ke hujung.

 

“Pengalaman pemangkin beliau akan memberi impak positif kepada Ramssol bagi mengembangkan rangkaian perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna akhir dan terus membina kejayaan kumpulan untuk menjadi pembekal penyelesaian teknologi terkemuka yang diiktiraf," katanya.

 

Cllement berkata, Ken akan membawa perspektif baharu kepada usaha pemasaran kumpulan itu dan membantu mencapai objektif perniagaan dengan pemahaman mendalamnya tentang tingkah laku dan kemahiran pengguna dalam mencipta kempen menarik golongan sasaran perniagaannya.

 

“Memandangkan Ramssol menyasarkan untuk mengembangkan dan mengukuhkan perkhidmatan perniagaan kepada pengguna pada kadar yang lebih agresif, latar belakang Ken dan pengalaman luas akan menjadi kelebihan penting untuk promosi produk unik kami dan merangka laluan untuk pertumbuhan selanjutnya dalam pasaran kami," tambahnya. -DagangNews.com