Kelemahan harga aluminium dijangka mengurangkan pendapatan Press Metal bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Kelemahan harga aluminium dijangka mengurangkan pendapatan Press Metal bagi FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pertumbuhan pendapatan Press Metal Aluminium Holdings Berhad bagi suku keempat 2022 (4QFY22) dijangka menyederhana kepada 1% didorong harga aluminium yang lebih lemah di pasaran.

 

Bagaimanapun, RHB Research berkata, pendapatan teras kumpulan itu dari tahun ke tahun seharusnya mencatatkan peningkatan 16% berikutan penurunan harga aluminium.

 

"Kami menjangkakan kekurangan bekalan kesan daripada ketegangan antara Rusia-Ukraine yang berterusan, kitaran monetari dan pembukaan semula ekonomi China untuk terus memberi sokongan kepada harga aluminium," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, harga aluminium LME semasa sekitar AS$2,600 telah melepasi jangkaan julat dagangan firma itu iaitu AS$2,300-US$2,500 berikutan pembukaan semula sempadan China.

 

Katanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menyemak unjuran pertumbuhan global 2023 kepada 2.9% daripada 2.7% (pada Oktober 2022).

 

"Kelebihan tetap memihak kepada kumpulan itu dengan pemangkin yang berterusan termasuk menjadi penerima manfaatkan daripada perubahaan struktur dan nisbah kos alumina-ke-aluminium yang menggalakkan.

 

"Kami menjangkakan peralihan itu tepat pada masanya untuk kumpulan itu melindung nilai 35% daripada jualan hadapannya pada 2023 (daripada 60% pada 2022) bagi memberikannya peningkatan yang mencukupi kesan pengukuhan harga aluminium," katanya.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan 2022 pada kumpulan sebanyak 10% selepas mengambil kira kemungkinan premium yang lebih rendah.

 

Firma itu bagaimanapun menyemak naik pendapatan 2023-2024 sebanyak 6% dan 9%, memandangkan kenaikan semula harga aluminium dan nisbah kos yang menggalakkan.

 

"Unjuran harga aluminium 2023 kami kini AS$2,600 berbanding AS$2,400.

 

"Setiap kenaikan AS$50 terhadap harga aluminium akan meningkatkan pendapatan Press Metal sebanyak 4%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.18 berbanding RM5.66 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com