Kejayaan sistem kewangan Islam dan transformasi negara dari kaca mata Nor Mohamed Yakcop | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 28 February 2023

KEJAYAAN SISTEM KEWANGAN ISLAM DAN TRANSFORMASI NEGARA DARI KACA MATA NOR MOHAMED YAKCOP

 


PADA 8 Februari lalu, Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF) dengan kerjasama INCEIF University telah mengadakan majlis ilmu, ARIF Eminent Lecture Series. 

 

Tetamu khas yang dijemput ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas Menteri Kewangan II dan Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah bertemakan 'Malaysia’s Economic Transformation – The Journey and Challenges Ahead: with emphasis on Islamic Finance'. 

 

Dalam ceramah yang disampaikan, beliau menggariskan 8 prinsip utama yang membawa kepada Transformasi Ekonomi Luar Biasa Malaysia yang telah melahirkan sistem kewangan Islam negara. Perkongsian ilmu ini diadakan di INCEIF, Universiti Global Kewangan Islam.

 

 

iktisad

 

 

Berikut adalah 8 perkara yang dicatat penulis dengan bantuan sahabat-sahabat ARIF, semasa sesi khas tersebut. 

 

Berfikiran terbuka

 

Malaysia telah menerima dasar demokrasi liberal, kapitalisme dan laissez-faire selepas merdeka, menunjukkan sikap berfikiran terbuka dalam menerima pakai apa yang paling sesuai untuk kepentingan negara, tanpa mengira amalan orang lain. Dasar-dasar ini telah disesuaikan dengan budaya hidup rakyat Malaysia yang rata-ratanya beragama Islam. 

 

 

Amalan pragmatik, bukan ideologi

 

Malaysia telah mengamalkan dasar ekonomi yang fleksibel dan tidak terikat dengan kekangan ideologi. Pada 1971, selepas Amerika Syarikat (AS) berhenti menukar dolar kepada emas, Malaysia merupakan antara negara pertama yang mengamalkan rejim kadar pertukaran terapung, dan ia terbukti memberi impak yang positif. 

 

Semasa krisis pada 1980-an, Malaysia menghapuskan pelbagai halangan, yang meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan seterusnya mempelbagaikan pelaburannya serta memberikan keutamaan dasar fiskal negara dalam industri perindustrian. Semasa Krisis Kewangan Asia 1997, Malaysia menentang cadangan IMF, menetapkan sementara kadar pertukaran ringgit, dan menurunkan kadar pinjaman, yang akhirnya membantu meredakan krisis. Pendekatan pragmatik sebegini harus sekali lagi kita praktikkan sekarang untuk menjadikan ekonomi Malaysia terus mampan. 

 

 

Malaysia tidak biarkan yang sempurna menjadi musuh yang baik

 

Maksudnya ialah kesempurnaan yang telah dilaksana tidak boleh kita hentikan begitu sahaja. Halalan Toyyiban contohnya. Apabila segala instrumen kewangan telah sempurna dipatuh syariahkan, namun, ia tidak sepatutnya berhenti di situ sahaja.

 

Pendekatan kepada nilai instrumen kepada manusia harus diberi perhatian khusus. Strategi berbentuk proaktif seperti mencari jalan bagaimana instrumen yang halal itu dapat meningkatkan lagi produktiviti dan kepuasan hati para pelanggan, perlu dirangka dan diaktifkan.

 

 

Mulakan dengan kemungkinan untuk mencapai perkara yang mustahil

 

Kejayaan Malaysia dalam membangunkan kewangan Islam memberikan contoh utama kepada prinsip ini. Inisiatif ini bermula di Malaysia pada 1981 dengan pembentukan jawatankuasa pemandu di bawah pimpinan Tun Mahathir. Pada 1983, bank Islam pertama di Malaysia telah ditubuhkan.

 

Lama-kelamaan, kerajaan memperkenalkan sekuriti pelaburan Islam untuk transaksi dengan bank pusat. Selepas 10 tahun, semua bank dibenarkan untuk memulakan perbankan Islam berasaskan tingkap/cawangan, juga pasaran wang antara bank Islam telah dibentuk. Salah satu pembiayaan yang paling popular untuk rakyat Malaysia, pajak gadai, telah dijadikan patuh syariah (Ar-Rahnu). Dengan memulakan secara kecil-kecilan dan membina kejayaan tambahan, Malaysia dapat mengubah sistem perbankannya dan menjadi peneraju dalam kewangan Islam.

 

 

iktisad
Keratan akhbar menunjukkan laporan mengenai penubuhan Bank Islam.

 

 

Think out of the box

 

Malaysia telah mengambil pendekatan inovatif untuk menghadapi cabaran, memperkenalkan institusi yang tiada keutamaan, seperti Felda, yang membantu penempatan semula penduduk miskin luar bandar dan ladang pekebun kecil yang teratur. Ia bukan sahaja memberi pendapatan kepada para peneroka, malah menjana perkembangan ekonomi negara apabila tanah-tanah terbiar dapat diusahakan. 

 

 

Tiada yang berkekalan tanpa institusi

 

Institusi mesti dibina untuk menyesuaikan diri dan bertahan, berdasarkan perubahan zaman. Sebagai contoh, Malaysia telah memperkenalkan Permodalan Nasional Berhad (PNB), salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia, dan institusi pendidikan dan penyelidikan lain. Kini, PNB memiliki sebanyak 48.86% kepentingan dalam Maybank. Malah, lebih daripada 50% aset kumpulan Maybank adalah Islamik.

 

 

Memperkasa golongan muda

 

Malaysia telah mengiktiraf dan menyokong potensi pemimpin baru muncul, memperkasakan mereka dari awal dan melihat ramai pemimpin yang berjaya sebagai hasilnya.

 

 

Sentiasa pertimbangkan implikasi jangka panjang

 

Pelan 5 hingga 10 tahun Malaysia menetapkan hala tuju dan bukannya pembetulan pantas. Dengan mengutamakan matlamat jangka panjang, Malaysia telah mencapai faedah yang lebih mampan dan kejayaan yang berpanjangan.

 

 

Penulis merasakan apa yang telah dilaksana oleh Malaysia dalam menubuhkan sistem kewangan Islam negara adalah satu kejayaan besar transformasi negara. Banyak negara luar telah mendapat manfaat dalam perkembangan kewangan Islam di negara mereka dengan mengambil model kewangan Islam Malaysia sebagai contoh. - DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags