Kedai gunting rambut, tukang emas & tekstil tidak boleh ambil pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Kedai gunting rambut, tukang emas & tekstil tidak boleh ambil pekerja asing

KUALA LUMPUR 16 Mac - Tiga subsektor ekonomi ialah perniagaan gunting rambut, tukang emas dan tekstil tidak dibenarkan lagi mengambil pekerja asing, sekaligus bakal menyaksikan banyak kedai berkaitan terpaksa menamatkan operasi.

 

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Nivas Ragavan berkata, pihaknya akan terpaksa menghantar pulang pekerja sedia ada dan terpaksa menutup kedai.

 

Ini berikutan pekeliling Jabatan Imigresen yang dilaporkann oleh akhbar arus perdana bahawa tarikh terakhir untuk melanjutkan pas kerja sementara ialah 15 Mac walaupun pas belum mencapai tempoh sah laku maksimum 13 tahun.

 

Pekerja yang permitnya tamat sebelum 15 Mac hanya boleh diperbaharui selama setahun, selepas itu mereka perlu dihantar pulang.

 

Nivas berharap kerajaan membenarkan subsektor mengambil bahagian dalam program penentukuran semula pekerja asing tanpa izin memandangkan penduduk tempatan tidak berminat dengan pekerjaan tersebut atau tidak mempunyai kemahiran khas.


 

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Nivas Ragavan
                                         Nivas Ragavan

 


“Sebagai contoh, tukang emas adalah kemahiran yang istimewa. Pekerja mahir kebanyakannya dari India,” katanya kepada The Star.

 

Setiausaha Agung Persatuan Tekstil Datin Gayathry Maheswari berkata sekurang-kurangnya 20% kedai tekstil di seluruh negara telah pun menghentikan operasi kerana isu tenaga kerja sejak permulaan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

 

“Kerajaan harus menarik balik keputusan ini. Adalah tidak adil bagi kerajaan untuk tidak melihat perkara ini yang memberi kesan kepada kita,” katanya merayu.


 

Datin Gayathry Maheswari
Datin Gayathry Maheswari

 


"Mengapa apabila sektor lain (iaitu perladangan dan pembuatan sarung tangan) meminta tenaga kerja asing, mereka diberi tetapi tidak kami?"

 

Presiden Persatuan Pemilik Pendandan Rambut India Malaysia (MINDAS) T. Suthandiram juga berpendapat bahawa adalah sukar bagi industri kedai gunting rambut India untuk bertahan jika mereka tidak dibenarkan pekerja asing.

 

Pembekuan itu akhirnya boleh menyebabkan berakhirnya kedai gunting rambut tradisional India di Malaysia, menurutnya.

 

“Sejak 2009, kami mempunyai pekerja yang sama dengan ada yang pulang bercuti dan tidak pulang,” katanya.

 

“Kedai gunting rambut juga merupakan warisan India Malaysia dengan ada yang telah beroperasi lebih 100 tahun. Terdapat 718 kedai di bawah payung MINDAS dan kebanyakannya mungkin terpaksa tutup kedai. Penduduk tempatan tidak berminat untuk menjadi tukang gunting rambut.” – DagangNews.com