Kebimbangan risiko nyahsenarai boleh jejaskan harga saham FGV, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan risiko nyahsenarai boleh jejaskan harga saham FGV, kata CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Dis - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap FGV Holdings Bhd. berikutan kebimbangannya terhadap risiko nyahsenarai boleh menjejaskan harga saham syarikat perladangan ini. 

 

Malah, ia turut menyemak turun harga sasarannya kepada RM1.40 daripada RM1.69 sesaham sebelum ini.

 

Menurut firma itu, Bursa Malaysia pada 18 Ogos lalu telah menolak permohohan FGV untuk mendapatkan enam bulan lanjutan bagi mematuhi sebaran pegangan saham awamnya. 

 

Katanya, setakat 21 November 2022, sebaran pegangan saham awam berada pada paras 13.06% dan kumpulan berhasrat memperbetulkan ketidakpatuhan tersebut melalui libat urus dengan pemegang saham utama dan melantik penasihat untuk menilai pelbagai pilihan bagi menangani isu tersebut.

 

"Disebabkan kekurangan butiran mengenai perkara ini, kami percaya risiko nyahsenarai dan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) yang lebih lemah berkemungkinan mengehadkan kenaikan harga saham FGV di sebalik penilaian rendah harga perusahaan (PE) sebanyak 8 kali bagi FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih FGV susut 39.5% kepada RM241.67 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM399.39 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dipengaruhi kerugian yang dicatatkan daripada segmen perniagaan gula. 

 

FGV yang memiliki 51% kepentingan dalam MSM Malaysia Holdings Bhd. menyaksikan kerugian berjumlah RM71 juta disebabkan peningkatan kos pengeluaran sebanyak 20%.

 

Baca : Segmen gula pengaruhi prestasi FGV pada Q3, keuntungan susut 40% kepada RM241.67 juta

 

Di sebalik keuntungan bersih yang jatuh dengan ketara, FGV merekodkan pendapatan sebanyak RM6.18 bilion, meningkat 16% daripada RM5.32 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih FGV meningkat 40.15% kepada RM984.93 juta daripada RM702.79 juta manakala pendapatan melonjak 45% kepada RM19.46 bilion berbanding RM13.39 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

 

Menurut CGS-CIMB, keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan adalah memenuhi jangkaannya dan konsensus Bloomberg masing-masing merangkumi 74% dan 77% daripada anggaran penuh FY22.

 

Katanya, FGV menjangkakan pengeluaran buah tandan segar yang mendatar pada 2022 sebelum meningkat antara 10 hingga 15% pada FY23 apabila masalah kekurangan pekerja asing semakin berkurangan.

 

"Pada akhir Oktober lalu, kumpulan telah mengambil 4,874 pekerja ladang, menurunkan nisbah kekurangan pekerjanya kepada 28% daripada 38% pada akhir Ogos.

 

"Malah, FGV merancang untuk membawa masuk 10,000 pekerja asing menjelang akhir FY22 dan 5,000 lagi pekerja menjelang FY23, yang akan mengatasi isu kekurangan pekerjanya," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan hasil pada suku keempat adalah setanding suku ketiga disebabkan input baja dan kerugian segmen gula yang lebih rendah.

 

"Namun, ini sebahagiannya akan diimbangi oleh harga minyak sawit mentah yang lebih lemah," katanya.

 

Setakat 9.36 pagi, harga saham FGV menokok 1 sen atau 0.74% kepada RM1.36 dengan 25,600 saham diniagakan. -DagangNews.com