Kaji selidik UCSI: 34% lepasan SPM pilih jadi pempengaruh media sosial | DagangNews Skip to main content

Kaji selidik UCSI: 34% lepasan SPM pilih jadi pempengaruh media sosial

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Sebanyak 34% responden berharap untuk bekerja sebagai pempengaruh (influencer) atau 'affiliate' media sosial selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menurut kaji selidik Pusat Penyelidikan Undian UCSI.

 

Selain itu, sejumlah 26% lagi mahu bekerja di dalam sektor e-hailing dan 22% mahu memulakan perniagaan sendiri serta sektor makanan dan minuman.

 

"Hanya 51% yang mempunyai perancangan untuk menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Sementara 39% lagi mahu mencari kerja dan 10% lagi tiada perancangan langsung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, seramai 1,000 responden lepasan SPM berusia 18 hingga 20 tahun terlibat dalam kaji selidik tersebut berkaitan perancangan masa depan mereka. 

 

Menurut kenyataan itu, kira-kira 1/3 mengatakan alasan kewangan untuk tidak sambung belajar, manakala 1/5 lagi responden berpendapat memiliki sijil pendidikan tinggi tidak menguntungkan seperti dulu.

 

"Penurunan angka pelajar lepasan SPM yang ingin melanjutkan pelajaran mungkin disebabkan tangga gaji yang rendah kerana ada sesetengah individu mempunyai sijil pengajian tinggi namun memperoleh pendapatan kurang daripada individu tidak memiliki sijil," katanya.

 

Berkait pandangan mereka terhadap menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi, 68% bersetuju menyambung pengajian boleh mengubah kehidupan sementara 32% lagi melihat menyambung pengajian tidak berfaedah seperti sebelum ini.

 

Responden juga ditanya laluan yang mungkin menjadi pilihan selepas tamat SPM dengan 47% responden memilih Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma sementara pilihan lain adalah asasi (39%), matrikulasi (37%) dan A-level (32%).

 

Keputusan kaji selidik juga menunjukkan 59% responden tidak berminat dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

 

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti UCSI, Dr Vasanthan Subramaniam berkata, meskipun kajian ini mencatatkan angka lepasan SPM yang mahu melanjutkan pelajaran, namun hanya 51% yang mahu menyambung pengajian ke pendidikan tinggi.

 

“Pada pandangan saya ini masalah yang serius dalam kalangan lepasan sekolah di Malaysia. Selepas SPM mereka mahu terus mencari kerja kerana mereka percaya sambung belajar tidak mendatangkan faedah untuk mereka bagi jangka masa panjang," katanya.

 

Tambahnya, sistem pendidikan perlu mengalih penekanannya daripada penilaian berasaskan peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih berasaskan pengalaman bagi meningkatkan persepsi pelajar. - DagangNews.com