Kadar pengangguran menurun kepada 3.7% pada 3QFY22 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran menurun kepada 3.7% pada 3QFY22 - DOSM

KUALA LUMPUR 17 Nov - Pasaran buruh terus mencatatkan pemulihan stabil pada 3QFY22 dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 3.7% berbanding 4.7% pada suku yang sama tahun lepas dan perlahan-lahan kembali kepada keadaan sebelum pandemik.

 

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini berkata, bilangan penganggur turun 18% kepada 611,800 orang berbanding 746,000 orang pada suku yang sama pada 2021.

 

“Dari segi penawaran buruh pada 3QFY22, bilangan penduduk bekerja meningkat 3.6% kepada 15.83 juta orang berbanding suku yang sama tahunsebelumnya sebanyak 15.70 juta orang.

 

“Pertumbuhan guna tenaga yang lebih tinggi daripada penurunan kadar pengangguran menyebabkan bilangan tenaga buruh meningkat 2.6% kepada 16.44 juta orang pada suku itu. 

 

"Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh terus mengukuh sebanyak 1.1 mata peratusan kepada 69.4%,” katanya.

 

dosm

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada 3QFY22 peralihan negara ke fasa endemik mendorong rakyat Malaysia untuk kembali kepada kehidupan hampir normal selepas dua tahun berjuang melawan pandemik COVID-19. 

 

Mengenai situasi guna tenaga tidak penuh, beliau berkata, pengukuhan permintaan domestik sepanjang suku ketiga 2022 menyebabkan bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu terus menunjukkan trend penurunan dengan merosot 38.2% berbanding suku yang sama pada 2021 iaitu sebanyak 287,200 orang (3QFY21: 464,600).

 

Mohd. Uzir berkata, bagi prestasi permintaan buruh, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi terus bertambah baik dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.2% kepada 8.68 juta jawatan (3QFY21: 8.41 juta), melepasi paras sebelum pandemik.

 

Beliau berkata, prestasi keseluruhan pasaran buruh juga dilihat akan mengekalkan momentum positifnya dan lebih berdaya tahan, memberikan isyarat bahawa pasaran buruh Malaysia semakin pulih didorong perkembangan semasa aktiviti ekonomi.

 

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, pandangan itu tertakluk kepada pelbagai cabaran dalam mengurangkan kesan pertumbuhan yang perlahan dalam ekonomi global dan aktiviti perdagangan serta kesan bencana banjir yang dijangka berlaku. - DagangNews.com