Harga kediaman di seluruh negara dijangka naik 5% pada 2023 - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Harga kediaman di seluruh negara dijangka naik 5% pada 2023 - Juwai IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Firma penyelidikan ekonomi, Juwai IQI menjangkakan harga kediaman di seluruh Malaysia mencatat kenaikan sebanyak 5% pada tahun ini.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kashaf Ansari berkata, pada tahun lalu pasaran kediaman menunjukkan tanda pemulihan dengan pembeli melengkapkan 243,190 transaksi bernilai RM94.28 bilion iaitu peningkatan 22.3% dalam julah dan 22.6% dari segi nilai.

 

Beliau berkata, kondominium dan apartmen mendominasi pelancaran baharu, menguasai 45% daripada jumlah keseluruhan, diikuti rumah teres pada 42.2%.

 

"Kami percaya penyusutan kediaman tidak terjual dan pertumbuhan pelancaran serta transaksi projek baharu pada tahun 2022 mencadangkan sentimen pembeli bertambah baik

 

"Kami mengambil langkah berhati-hati dalam 12 bulan akan datang, kami percaya Indeks Harga Rumah Malaysia (MHPI) boleh meningkat pada 2023 sebanyak 3% hingga 7% dengan harga kediaman akan meningkat sebanyak 5%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, MHPI meningkat 2.8% sebanyak 2022 menyebabkan harga rumah teres meningkat sebanyak 3.7%, diikuti oleh harga kediaman bertingkat sebanyak 3.4% dan rumah berkembar sebanyak 2.9%.

 

"Walaupun MHPI di Kuala Lumpur turun sedikit sebanyak 0.2%, negeri-negeri utama lain menyaksikan pertumbuhan positif. Selangor, Johor dan Pulau Pinang masing-masing meningkat sebanyak 3.4%, 2.2% dan 3.2%.

 

“Kami menjangkakan permintaan untuk rumah mampu milik kekal kukuh, yang boleh memacu aktiviti transaksi dalam julat harga RM300,000 hingga suku pertama 2024.

 

Katanya, 2022 mencatatkan peningkatan aktiviti dengan jumlah dan nilai urus niaga lebih tinggi pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata, kediaman terjual jatuh sebanyak 24.7% dalam jumlah dan 19.2% dalam nilai kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion pada suku keempat 2022 dan hartanah tidak terjual boleh memberi tekanan kepada harga hartanah dan aktiviti jualan.

 

"Pelancaran baharu menunjukkan prestasi sederhana baik pada 2022, dengan lebih daripada 54,000 unit dilancarkan dengan Kuala Lumpur merupakan pasaran terbaik untuk pelancaran baharu dengan 47% baharu dijual manakala Johor sebanyak 43% unit baharu terjual dan Selangor sebanyak 27%," katanya. - DagangNews.com