Jumlah pesakit semakin bertambah, tingkatkan lagi keuntungan KPJ bagi FY23 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Jumlah pesakit semakin bertambah, tingkatkan lagi keuntungan KPJ bagi FY23 - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Feb - Kenanga Research menyemak naik harga sasaran KPJ Healthcare Bhd. kepada RM1.32 daripada RM1.18 sesaham dengan mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap kumpulan perubatan itu selepas ia melaporkan prestasi tahun kewangan yang cemerlang. 

 

Keuntungan bersih KPJ melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM171.99 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) daripada RM54.79 juta berikutan lonjakan dalam kedatangan pesakit dan kadar penghunian katil, terutamanya di Malaysia. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut berkembang 12.74% kepada RM2.92 bilion berbanding RM2.59 bilion sebelum ini susulan peningkatan aktiviti hospital, yang didorong oleh kunjungan pesakit yang naik kepada 3.26 juta daripada 2.98 juta yang dicatatkan semasa FY21 termasuk kadar penghunian katil yang lebih tinggi sebanyak 58% berbanding 43% pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Untuk suku keempat, KPJ menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM72.09 juta daripada RM20.33 juta, manakala perolehan mengukuh kepada RM780.94 juta berbanding RM680.78 juta sebelum ini.

 

Menurut Kenanga Research, prestasi bagi tempoh kewangan itu mengatasi jangkaannya dengan lebih kukuh apabila perniagaan kembali pulih dengan berakhirnya pandemik COVID-19.

 

Bagi FY23, firma itu menganggarkan pesakit KPJ akan meningkat kepada 14% daripada 12% (FY22) dengan kadar penghunian katil juga meningkat kepada 66% (daripada 58%) apabila permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta meneruskan semula laluan pertumbuhannya selepas wabak.

 

"Oleh itu, kami menaikkan unjuran untung bersih KPJ sebanyak 10% bagi FY23 (dengan mengambil kira peningkatan jumlah pesakit," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, ia menyukai KPJ berdasarkan kepada 'keanjalan harga permintaan' yang rendah untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, yang bermakna pemain industri kurang terdedah kepada inflasi kerana mereka boleh menurunkan kos yang lebih tinggi.

 

Selain itu, Kenanga Research juga melihat KPJ sebagai saham yang mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi terutamanya bagi pembedahan elektif dan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran dengan memiliki 29 rangkaian hospital swasta di Malaysia. 

 

Setakat 11.09 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.94% kepada RM1.07 dengan 7.07 juta saham diniagakan. - DagangNews.com