Jualan IOI Properties bagi FY23 diunjur menyamai pencapaian FY22 - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Jualan IOI Properties bagi FY23 diunjur menyamai pencapaian FY22 - Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Affin Hwang Capital mengunjurkan jualan jualan IOI Properties Group Berhad untuk tahun kewangan 2023 (FY23) berada di landasan untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian FY22.

 

Firma itu mengekalkan ramalan jualan kumpulan sebanyak RM2 bilion pada FY23 dan RM2.24 bilion pada FY24.

 

Jualan kumpulan itu meningkat 3% kepada RM927 juta dalam enam bulan FY23 berbanding RM896 juta yang dijana dalam enam bulan FY22, dikuasakan oleh jualan domestik yang menyumbang 86% daripada jumlah jualan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bakal melancarkan projek pembangunan bernilai lebih RM1.5 bilion.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menjangkakan kelewatan pelancaran beberapa hartanah dan mereka akan memberi fokus kepada penjualan unit investorinya berikutan peningkatan kos pembinaan dan aliran tunai.

 

Affin Hwang menjangkakan pendapatan pembangunan hartanah sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pulih 40% pada FY23 hingga FY24 dengan sumbangan lebih tinggi daripada produk margin tinggi seperti rumah bertanah dan pejabat kedai bertanah.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedang merancang pengembangan fasa tiga untuk IOI City Mall selepas selesai fasa kedua pada 25 Ogos 2022.

 

Selain itu, IOI Central Boulevard Towers (IOI Central) di Marina Bay, Singapura disasarkan siap pada penghujung 2023.

 

"Cabaran utama yang dihadapi ialah kekurangan tenaga kerja dan sekatan tapak pembinaan yang ketat. 

 

"Kumpulan itu mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk ruang pejabat Gred A di Singapura, terutamanya daripada gergasi teknologi global.

 

"Bloomberg melaporkan bahawa Amazon telah menandatangani pajakan untuk kira-kira 369,000 kaki persegi di IOICBT dengan sewa efektif kasar sebanyak S$10 setiap kaki persegi, memetik cakap-cakap pasaran. Kami mendapati bahawa komitmen pajakan pada masa ini adalah 30% daripada jumlah keluasan bersih yang boleh disewakan 1.3 juta kaki persegi," katanya.

 

Kumpulan itu kekal sebagai belian sektor teratas dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM1.54 daripada RM1.40. - DagangNews.com