Jo Yau dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Malacca Securities baharu | DagangNews Skip to main content

Jo Yau dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Malacca Securities baharu

Jo Yau
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Mengukuhkan pasukan kepimpinan di Malacca Securities, Jo Yau yang berpengalaman dalam dunia pemasaran lebih 20 tahun dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran untuk menerajui pertumbuhan strategik inisiatif pemasaran dan komunikasi jenama itu.

 

Malacca Securities dalam kenyataan hari ini berkata, Jo membawa pengetahuan industri yang mendalam dan rekod luar biasa yang terbukti menerajui perniagaan utama dan mengurus pelanggan cip biru seperti Maybank, HSBC, Lenovo, TM dan Volvo.

 

Katanya, beliau menyertai Malacca Securities daripada RinggitPlus, yang mana beliau juga memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Pemasaran, menyelia fungsi pemasaran termasuk komunikasi jenama, integrasi jenama pelanggan, pemasaran kandungan dan pemasaran digital.

 

Jelasnya, sebelum ini Jo bertanggungjawab terhadap pertumbuhan Grey Malaysia yang mana beliau menjadi pengurus besar selama lima tahun, termasuk meraih pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah 'Cannes Lions' yang berprestij dengan 'Silver Lion' untuk Tesco. 

 

"Ketika menjadi Pengarah Perancangan Kumpulan Zenith, beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan perniagaan, dan bertanggungjawab untuk 30% daripada hasil dan pengebilan agensi dengan majoriti disumbangkan oleh Maybank. 

 

"Di sebalik pengiktirafan dan keputusan ketara yang telah meraikan kerjayanya, Jo menganggap beliau mengetuai pasukan seramai 25 orang untuk penyusunan strategi dan pembangunan Webe TM sebagai karyanya yang paling ikonik," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, pihaknya teruja untuk mengalu-alukan kehadiran Jo ketika pengembangan Malacca Securities. 

 

Katanya, menerusi pengalamannya, Jo berada pada kedudukan yang baik, bukan sahaja membantu memajukan peranan mereka dalam ekosistem yang semakin dinamik tetapi juga memanfaatkan persekitaran yang berubah-ubah.

 

"Persimpangan ekonomi di mana kami berada adalah mencabar, tetapi kami yakin Jo akan membawa usaha pemasaran kami ke tahap seterusnya dengan perspektifnya yang unik dan segar," katanya.


 
Jo berkata, beliau sangat teruja untuk menyertai pesaing kuat dan salah satu yang terbaik dalam pasaran broker saham. 

 

"Malacca Securities telah menyaksikan pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya telah menyaksikan sendiri selama bertahun-tahun betapa stabil dan konsisten pertumbuhan itu. 

 

"Kini setelah saya bersama pasukan dan sebahagian daripada kisah jenama itu, saya berharap dapat memanfaatkan kepakaran saya dan membantu meningkatkan Malacca Securities ke tahap yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com