Jempol destinasi ekopelancongan, tawar pelbagai program menarik pada Jelajah AKM Negeri Sembilan | DagangNews.com Skip to main content

Jempol destinasi ekopelancongan, tawar pelbagai program menarik pada Jelajah AKM Negeri Sembilan

SEREMBAN 6 Okt - Pengunjung berpeluang menikmati keunikan daerah Jempol, satu daripada destinasi ekopelancongan menarik di Negeri Sembilan, pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Seri Jempol hujung minggu ini.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, Jelajah AKM Negeri Sembilan kali ini menawarkan pelbagai program menarik dan bermanfaat kepada penduduk tempatan dan pengunjung dari negeri berdekatan selama tiga hari bermula Jumaat ini.

 

“Jempol antara destinasi ekopelancongan yang sering dikunjungi penduduk di negeri ini serta pengunjung di negeri berdekatan terutamanya pada hujung minggu bagi menikmati keindahan alam semula jadi di daerah itu.

 

“Pada Jelajah AKM kali ini, dijangkakan kira-kira 100,000 pengunjung akan hadir. Antara kelainan di sini ialah khemah Hospital Futuristik iaitu hospital masa hadapan yang menggunakan sistem dan teknologi canggih,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama.

 

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang murah, produk tempatan, serta terdapat 152 cabutan bertuah termasuk dua motosikal.

 

Beliau berkata, terdapat 27 reruai melibatkan pelbagai kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri mengambil bahagian.

 

“Selain itu, usahawan tempatan di sekitar Jempol dapat memanfaatkan peluang mengembangkan perniagaan mereka menerusi program Padanan Perniagaan yang melibatkan syarikat pasaran tempatan, e-dagang, logistik, peruncitan dan koperasi,” katanya.

 

Razali berkata, antara program lain ialah Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dengan 27 majikan dan 4,132 kekosongan jawatan yang melibatkan pelbagai sektor swasta dan 157 reruai usahawan.

 

Bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung, perkhidmatan bas disediakan di empat lokasi iaitu di Palong Felda Jaya; Bahau-Felda Jaya; Sg Lui-Felda Jaya dan Jabatan Pengangkutan Jalan Jempol-Dataran Sri Jempol ke tapak program. - DagangNews.com