Skip to main content

ISM, Richworks jalin kerjasama untuk lahir usahawan jutawan muda

Innovative School of Management (ISM) menjalinkan kerjasama rintis bersama RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks)

KUALA LUMPUR 16 Nov - Innovative School of Management (ISM) menjalinkan kerjasama rintis bersama RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) untuk membimbing pelajarnya agar membina bisnes yang berjaya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ISM, Isma Edli Safri berkata, pelajar-pelajar tersebut di bawah program diploma dalam bidang keusahawanan telah dipilih mengikut kriteria yang ditetapkan.

 

Beliau berkata, mereka mendidik usahawan muda di ISM, selain RichWorks merupakan sebuah organisasi yang mempelopori dalam membimbing usahawan di Malaysia.

 

"Kita lihat sendiri, ramai usahawan yang terbukti berjaya. Ramai daripada 'zero' sudah jadi jutawan, program dan bimbingan RichWorks dilihat platform terbaik untuk melahirkan usahawan berjaya," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat dan majlis menandatangani perjanjian mengikuti program Spire bagi enam pelajar ISM terpilih di Pejabat RichWorks, semalam.

 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi RichWorks, Suley Nordyana Yahya dan Pengetua Mentorship Spire, Safarah Salman.

 

Dalam pada itu, ISM merangka program pertama bersama RichWorks yang mana satu daripada modul pengajian pelajar akan mengikuti program Spire yang menyokong usahawan mencapai jualan RM1 juta pertama.

 

 

richworks

 

 

Menurut Naib Presiden Mentorship RichWorks, Muhammad Hafiz Jasmi, program Spire mengandungi teras perniagaan berjaya seperti meningkatkan jualan dan pemasaran, mengurus kewangan, pengurusan operasi serta kepimpinan.

 

"Pihak RichWorks juga akan memantau perniagaan usahawan muda ini agar sentiasa berada pada landasan yang betul selama 12 bulan," jelasnya.

 

 

richworks

 

 

Sementara itu, salah seorang pelajar terpilih, Nur Anisa Puteri Jasmi, 20, berkata, peluang mendapatkan bimbingan RichWorks yang begitu dikenali dalam melahirkan usahawan berjaya membuatkan dirinya lebih jelas dan yakin untuk mengendalikan perniagaan.

 

"Sebelum ini, kami dah belajar di kolej, tetapi dalam program Spire saya dapat ilmu praktikal yang terbukti digunakan usahawan berjaya lain disamping semangat baru termasuk untuk capai jualan RM1 juta pertama," katanya.

 

 

richworks

 

 

Pengasas Pakya Empire Legacy, Muhammad Aiman Hakim Yahaya, 20, pula berkata, dia mengagumi perusahaan yang bermula daripada kosong namun kini mampu bina bisnes berjaya.

 

"Dulu mereka tidak ada apa-apa, hari ini dah ada kilang dan empayar perniagaan. Saya letakan sasaran berjaya seperti mereka," katanya.

 

 

richworks

 

 

Tambah Muhammad Aiman, dengan ilmu yang dipelajari di ISM dan seterusnya dalam program Spire, dia berharap agar memperoleh RM1 juta pertama dan terus mengembangkan perniagaan. - DagangNews.com