Iskandar Investment perkasa generasi masa depan melalui pendidikan STEM | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment perkasa generasi masa depan melalui pendidikan STEM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov -  Iskandar Investment Berhad (IIB) bekerjasama dengan Avitex Solution (M) Sdn Bhd dalam penganjuran kohort ketiga dan keempat Program Juruterbang Dron Muda Iskandar Puteri (IPJDP) di Iskandar Puteri, Johor.

 

Program ini bermula pada Disember 2021 untuk melibatkan masyarakat setempat dan pihak lain yang berminat mencari peluang untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada teknologi yang sedang berkembang. 

 

Iskandar Puteri menempatkan Zon Dron dan Robotik yang diterajui oleh IIB, dan diiktiraf oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai National Technology and Innovation Sandbox. 

 

Inisiatif akar umbi ini sejajar dengan visi IIB untuk membangunkan Iskandar Puteri sebagai metropolis masa depan yang inklusif dan mampan, melalui penyemaian bakat dan minat tempatan dalam komuniti.

 

Program Juruterbang Dron Muda ini memfokuskan pada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang merangkumi pengetahuan teknikal asas, kemahiran penerbangan dan pengaturcaraan, dan yang paling penting, keselamatan berkaitan dengan operasi dron. 

 

Program ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tiada pendedahan awal kepada dron, disasarkan untuk mendedahkan generasi muda kepada teknologi baharu dan pelbagai aplikasi melalui program pembelajaran berasaskan pengalaman.

 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dalam membangunkan bakat muda tempatan sambil mengukuhkan kedudukan Iskandar Puteri sebagai pusat ekonomi digital dan pembangunan bakat di Johor.

 

 

iskandar
                                                Datuk Idzham Mohd Hashim

 

 

"Dengan pertambahan syarikat dron dan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Iskandar Puteri melalui inisiatif Zon Dron dan Robotik Iskandar oleh IIB, Program Juruterbang Dron Muda ini bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan komuniti berkaitan dron dan robotik tetapi mendedahkan, menggalakkan dan memperkasakan generasi muda untuk mengejar kerjaya dalam teknologi dan inovasi.

 

“Program ini akan memupuk ekosistem berteraskan inovasi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan bakat baharu dalam Iskandar Malaysia. 

 

 

iskandar

 

 

iskandar

 

 

"Kami berharap program ini akan menjadi pemangkin pembangunan bakat tempatan ke arah meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab teknologi dan bakat yang sedang berkembang pesat untuk Malaysia dan Rantau Asia Pasifik," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Avitex Solution (M) Sdn Bhd, Profesor Madya Dr Mohammad Zulafif Rahim berkata, pembelajaran STEM dari usia muda adalah penting untuk memastikan pelajar dilengkapi kemahiran untuk menghadapi dunia yang bergantung kepada teknologi. 

 

"Kami kini mempunyai alat untuk memastikan pelajar terlibat dan bersemangat tentang mata pelajaran ini. Menggabungkan dron dalam pendidikan ialah cara baharu untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, inovatif dan interaktif untuk generasi muda," katanya. - DagangNews.com