InvestKL sasar tarik pelaburan RM2 bilion tahun ini, mewujudkan 1,500 pekerjaan berkemahiran tinggi | DagangNews Skip to main content

InvestKL sasar tarik pelaburan RM2 bilion tahun ini, mewujudkan 1,500 pekerjaan berkemahiran tinggi

(Empat dari kiri) Datuk Muhammad Azmi Zulkifli, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MITI, Datuk Bahria Mohd Tamil; Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Encik Hairil Yahri Yaacob; dan Pengerusi InvestKL, Datuk Seri Michael Yam bersama wakil daripada 13 syarikat global yang melabur di Greater KL pada 2022
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - InvestKL menyasarkan pelaburan berimpak tinggi sebanyak RM2 bilion pada tahun ini, dalam pelbagai bidang dengan jangkaan untuk mewujudkan 1,500 pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Agensi penggalak pelaburan untuk Greater KL di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, sasaran tersebut adalah khusus kepada bidang ekonomi digital, pencetusan idea dan inovasi serta pusat kecemerlangan serantau.

 

Katanya, selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional, InvestKL bekerjasama dengan syarikat global terkemuka dan rakan kongsi strategik ke arah program nilai tambah bagi menyokong perniagaan bertanggungjawab dan perkongsian amalan terbaik untuk mempercepatkan agenda hijau negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata agensi itu mengejar pelabur yang seiring dengan agenda kemampanan Malaysia.

 

“Di samping itu, banyak syarikat multinasional (MNC) terkemuka membuat pelaburan dalam teknologi canggih untuk menyokong pertumbuhan perniagaan yang bertanggungjawab, jadi kami perlu mewujudkan ekosistem yang menyokong keperluan mereka,” tambah beliau.

 

InvestKL juga telah mencatatkan pencapaian baharu pada tahun lalu apabila ia meraih pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM2.79 bilion, peningkatan 13% tahun ke tahun (YoY) menjadikan 2022 tahun prestasi terbaik sejak agensi itu ditubuhkan pada 2011.

 

 

Datuk Muhammad Azmi Zulkifli
Datuk Muhammad Azmi Zulkifli

 

 

Sejumlah 13 hab perkhidmatan global telah ditubuhkan tahun lalu dan pencapaian pelaburan yang diraih di kala cabaran besar yang melanda dunia menunjukkan agensi tersebut berjaya meletakkan Great KL sebagai destinasi pelaburan pilihan.

 

Menurutnya, pencapaian itu disokong oleh asas ekonomi yang mapan, cadangan perniagaan teguh, peningkatan kemudahan menjalankan perniagaan, infrastruktur digital terbaik dan kumpulan bakat dinamik.

 

Semenjak ia ditubuhkan, agensi itu telah memperoleh pelaburan sebanyak RM21.52 bilion, kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

“Ini dicapai menerusi penubuhan lebih 120 hab perkhidmatan global, yang mewujudkan lebih 19,000 pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Malaysia, di mana 94% daripadanya mempunyai purata gaji eksekutif bulanan sebanyak RM13,000,” katanya. -DagangNews.com