Indonesia mulakan program bina dua kapal ronda pesisir OPV  | DagangNews Skip to main content

Indonesia mulakan program bina dua kapal ronda pesisir OPV 

Ilustrasi grafik kapal OPV 90M yang bakal menjadi aset baharu tentera laut Indonesia.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 29 Nov - Negara jiran Indonesia menggandakan lagi aset tentera laut apabila memulakan program pembinaan dua kapal ronda pesisir (OPV) yang dibina oleh sebuah syarikat tempatan, PT Daya Radar Utama (PT DRU).

 

Upacara peletakan lunas kapal itu telah diadakan pada 16 November lalu di limbungan syarikat tersebut di Lampung, Sumatera.

 

Kementerian Pertahanan Indonesia (Kemhan) pada Ogos tahun lalu menganugerahkan kontrak kepada PT DRU dengan objektif meningkatkan kemampuan syarikat tempatan.

 

Dua buah OPV ini akan diguna bagi tugas rondaan untuk mengimbangi peranan bot-bot peronda tentera laut.

 

Pembinaan ini masing-masing sebuah kapal OPV dan sebuah OPV 90M yang merupakan pembinaaan tempatan sepenuhnya.

 

Difahamkan, kapal OPV 90M memiliki panjang 90 meter (m), lebar 13.5m dan boleh menampung 94 kru.


 

indon

 

indon

 

indon

 

 

Ia dikuasai empat enjin diesel dengan kelajuan maksimum sekitar 28 knot.

 

OPV 90M akan dilengkapi dengan senjata seperti meriam Oto Melara Super Rapid kaliber 76mm, sistem senjata jarak dekat Rheinmetall Millennium Gun kaliber 35 mm dan lapan misil MBDA MM40 Exocet.

 

Kapal ini juga mempunyai geladak pendaratan  helikopter serta boleh membawa dua bot jenis RHIB.

 

Sementara itu, untuk kapal OPV kedua pula tidak dinyatakan saiz secara spesifik tetapi dipercayai lebih kecil iaitu sepanjang 60m.

 

OPV ini juga mempunyai sistem persenjataan sama seperti OPV 90M cuma tiada geladak helikopter.

 

Sebuah lagi firma tempatan iaitu PT PAL Indonesia pula khusus pada pembinaan kapal perang utama yang bersaiz lebih besar dan berteknologi tinggi termasuk kapal selam. - DagangNews.com