Helikopter ketiga AW139 perkasakan Armada Timur TLDM    | DagangNews Skip to main content

Helikopter ketiga AW139 perkasakan Armada Timur TLDM   

Helikopter AW139 di tempatkan di Stesen Udara Kota Kinabalu.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 29 Nov - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sebuah lagi helikopter operasi maritim (HOM) AW139 bagi mengukuhkan pengawasan ruang udara di perairan Sabah dan Sarawak.

 

Aset baharu ini melengkapkan tiga buah helikopter kesemuanya yang dibeli kerajaan khusus untuk meningkatkan inventori Armada Timur TLDM.

 

HOM AW139 ketiga selamat tiba di Kota Kinabalu, Sabah pada 29 Oktober lalu sebelum diserahkan secara rasmi hari ini. 

 

Majlis penerimaan helikopter ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sani di Pangkalan TLDM Telok Sepanggar.

 

Kesemua pesawat ini yang membentuk Skuadron 503 berpengkalan di Stesen Udara Kota Kinabalu.

 

Sijil serah terima HOM ketiga ini telah ditandatangani Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd, Dato’ Shamsul Kamar Samsudin bersama Mohd Reza.


 

tudm

 


Pada Julai lalu, dua helikopter diterima setelah kerajaan memeterai perolehan berjumlah RM220 juta pada September 2020.

 

Helikopter buatan Itali ini dilengkapi dengan radar pencarian RDR 1700A dan mesingan berkaliber 12.7 millimeter (mm).

 

AW139 yang dikeluarkan sejak 2003 merupakan helikopter saiz sederhana antara yang banyak digunakan iaitu melibatkan tentera dari 24 negara.

 

Ia boleh membawa 15 penumpang dan mampu terbang sejauh 1,061 kilometer. 


 

tudm

 

tudm

 


Model sama juga digunakan oleh Polis Diraja Malaysia, Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

TLDM ketika ini telah mengoperasikani enam helikopter Super Lynx 300 dari Britain (Skuadron 501) dan lima AS555SN buatan Perancis (Skuadron 502).

 

Super Lynx 300 yang merupakan helikopter tempur untuk TLDM dilengkapi misil Sea Skua serta boleh melancarkan torpedo bagi operasi antikapal selam. - DagangNews.com