Hasil GFM Services meningkat 46.5% kepada RM40.2 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Hasil GFM Services meningkat 46.5% kepada RM40.2 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu, GFM Services Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 46.5% bagi 3QFY22 kepada RM40.2 juta daripada RM27.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Untung bersih kumpulan itu melonjak 3.7 kali ganda kepada RM8.1 juta berbanding RM2.6 juta pada 3QFY21. 

 

Peningkatan prestasi kewangan itu disebabkan oleh sumbangan sulung daripada kontrak baharu bagi penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan yang dianugerahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

"Bagi tempoh 9MFY22, jumlah hasil kumpulan meningkat 6.5% kepada RM97 juta daripada RM91.1 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

"Berdasarkan pecahan, segmen pengurusan kemudahan kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil meningkat sebanyak 11.4% kepada RM65.8 juta menjadikan hasil keseluruhan sebanyak 68%.

 

"Sementara itu, segmen pengurusan konsesi mewakili 32% atau RM31.2 juta selepas pelarasan penyatuan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Naib Pengerusi Eksekutif kumpulan itu, Ruslan Nordin berkata, keputusan kewangan itu mencerminkan perkembangan yang baik didorong kontrak baharu daripada JKR dan ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh lima tahun hingga Julai 2027.

 

Beliau berharap dapat mengekalkan prestasi kewangan dalam jangka sederhana disokong oleh kontrak pengurusan kemudahan yang mempunyai tempoh purata sekitar tiga hingga lima tahun dan pemegang konsesi yang berakhir pada 2035.

 

Bagaimanapun, pihaknya akan terus membida untuk mendapatkan lebih banyak kontrak untuk menambah nilai kontrak dan sehingga 30 September 2022, kontrak terkumpul kumpulan berjumlah RM1.36 bilion.

 

"Antara bidang yang sedang diterokai ialah menyediakan perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan untuk penginapan pekerja.

 

"Dengan penggubalan Akta 446 yang telah dipinda yang memerlukan majikan mematuhi piawaian minimum perumahan dan kemudahan, terdapat permintaan yang besar untuk penginapan yang layak untuk pekerja.

 

"Dengan pengalaman kami dalam menyampaikan perkhidmatan pengurusan kem pekerja di Pengerang, kami bersedia untuk mendapatkan peluang baharu dalam pasaran ini," katanya. - DagangNews.com