Hasil 3QFY22 UEM Sunrise atasi unjuran RHB Research didorong sumbangan projek hartanah yang kukuh | DagangNews Skip to main content

Hasil 3QFY22 UEM Sunrise atasi unjuran RHB Research didorong sumbangan projek hartanah yang kukuh

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - UEM Sunrise Berhad mencatatkan hasil yang tinggi bagi 3QFY22 mengatasi jangkaan RHB Research didorong pendapatan yang kukuh daripada projek yang sedang dilaksanakan.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat kumpulan itu tidak mungkin mencapai sasaran jualan RM1.5 bilion pada penghujung tahun kesan daripada penangguhan pelancaran beberapa projek kerana kelewatan pengesahan daripada pihak berkuasa.

 

"Jualan hartanah bagi tempoh 9MFY22 hanya mencecah RM736.2 juta.

 

"Pihak pengurusan kumpulan juga berpendapat bahawa sasaran jualan RM1.5 bilion itu tidak mampu dicapai terutama selepas projek The Minh MK 31 plot 1 (GDV: RM950 juta) dan Taman Connaught One (GDV: RM740 juta) lewat mendapat kelulusan pihak berkuasa.

 

"Kedua-dua projek itu hanya akan dilancarkan pada 1QFY23 dan 2QFY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM20.35 juta atau 0.4 sen sesaham pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding kerugian bersih RM50.38 juta atau 1 sen sesaham dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan sumbangan hasil yang bertambah baik daripada segmen pembangunan hartanah.

 

Hasil suku tahunan meningkat 66.99% kepada RM355.76 juta daripada RM213.04 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu dibantu oleh projek tempatan iaitu Residensi Solaris Parq, Residensi AVA, Residensi Allevia dan Residensi Astrea di Mont' Kiara di wilayah Tengah.

 

Di wilayah Selatan, penyumbang hasil utama ialah Senadi Hills Estuari Gardens, Aspira ParkHomes, diikuti oleh Teega. Penyelesaian yang lebih tinggi daripada projek Australia juga menyumbang kepada peningkatan dalam hasil pembangunan hartanah.

 

Firma itu berkata, selepas mengambil kira pendapatan 9MFY22 lebih kukuh daripada jangkaan, kami meningkatkan unjuran pendapatan FY22 hingga FY24 sebanyak 10% hingga 15%.  

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 22 sen," katanya. - DagangNews.com