Harga minyak sawit mentah Malaysia susut 16% sejak Ogos | DagangNews.com Skip to main content

Harga minyak sawit mentah Malaysia susut 16% sejak Ogos

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Okt - Harga minyak sawit mentah Malaysia menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 16% sejak akhir Ogos lalu kepada RM3,377 satu tan metrik pada 3 Oktober 2022 berikutan kebimbangan permintaan yang lebih lemah. 

 

CGS-CIMB Research berkata, penurunan itu juga berpunca daripada peningkatan jualan eksport dari Indonesia dan persaingan dengan minyak kacang soya di Argentina.

 

Firma itu mendapati, harga minyak sawit mentah di negara ini hampir menyamai paras harga minyak sawit mentah Indonesia pada 10,530 rupiah (RM3,201 satu tan metrik) setakat 3 Oktober 2022 setelah jatuh
8% daripada 11,433 rupiah (RM3,480 satu tan metrik) yang direkodkan pada 31 Ogos 2022. 

 

"Bagaimanapun, penurunan ini sebahagiannya diimbangi dengan masalah kekurangan buruh di Malaysia dan masalah cuaca. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan harga minyak sawit mentah pada Oktober akan berlegar antara RM3,500 hingga RM4,000 satu tan metrik pada bulan ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Rabu, Ketua Menteri Ekonomi Indonesia berkata negara itu mungkin melanjutkan pengecualian levi minyak sawit sehingga akhir tahun ini memandangkan kerajaan tidak melihat keperluan untuk mengutip levi yang kebanyakannya digunakan untuk menampung subsidi biodiesel disebabkan harga minyak sawit pada masa ini adalah lebih rendah berbanding petrol.

 

Dengan lanjutan itu, yang sepatutnya berakhir 30 Oktober 2022 akan membantu meningkatkan lagi penghantaran minyak sawit dari Indonesia dan menyokong harga buah tandan segar tempatan. 

 

Indonesia mengumumkan harga rujukan minyak sawit mentah tetap sebanyak AS$792 satu tan metrik bagi tempoh 1 hingga 15 Oktober 2022 (berbanding AS$846 satu tan metrik untuk 16 hingga 30 September 2022), yang akan menurunkan cukai eksport minyak sawit kepada AS$33 satu tan metrik (RM151 satu tan metrik) berbanding AS$52 satu tan metrik bagi tempoh 16 hingga 30 September 2022.

 

Menurut CGS-CIMB, langkah itu akan meletakkan cukai eksport Indonesia lebih rendah daripada Malaysia sebanyak RM322 satu tan metrik, berdasarkan duti 8% pada harga rujukan RM4,033 satu tan metrik untuk Oktober.

 

"Kami percaya lanjutan ini akan membantu meningkatkan daya saing minyak sawit Indonesia berbanding Malaysia ketika negara menuju ke bulan pengeluaran puncak pada Oktober, dan boleh menyebabkan eksport minyak sawit yang lebih lemah dari Malaysia," jelasnya.

 

Firma itu juga mendapati stok minyak sawit Indonesia setakat akhir Julai susut kepada 5.9 juta tan  daripada 6.7 juta tan  pada bulan sebelumnya, tetapi masih kekal tinggi berbanding 4.13 juta tan setakat akhir Disember 2021.

 

Sebaliknya, ia menjangkakan stok minyak sawit Malaysia meningkat 10% bulan ke bulan kepada 2.3 juta tan setakat akhir September 2022 terutamanya disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Hasil kaji selidik CGS-CIMB Futures menunjukkan pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia dijangka meningkat 3% bulan ke bulan dan 4% tahun ke tahun kepada 1.78 juta tan pada September 2022. - DagangNews.com