Hanya 5 LCS: Selamat tinggal KD Mat Kilau | DagangNews Skip to main content

Hanya 5 LCS: Selamat tinggal KD Mat Kilau

Kelewatan pembinaan LCS mengecewakan rakyat yang mahukan negara memiliki keupayaan maritim yang jitu.
Analisis Berita oleh ZAKI SALLEH

PENGUMUMAN Panglima Tentera Laut mengenai status kapal tempur pesisir (LCS) keenam memuktamadkan teka-teki tentang kemajuan terkini kapal tersebut.

 

Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob mengesahkan perolehan kumpulan pertama LCS telah dikurangkan daripada enam kepada hanya lima buah.

 

Keputusan pengurangan jumlah perolehan ini telah dibuat semasa kerajaan memutuskan untuk meneruskan semula projek tersebut.

 

Ironinya pula, Januari ini sepatutnya merupakan tarikh LCS keenam itu dengan nombor penant 2506 yang dinamakan sebagai KD Mat Kilau diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

BERITA BERKAITAN: Perolehan kumpulan pertama LCS dikurangkan kepada lima kapal - TLDM

 

Ia berdasarkan jangkaan semasa projek LCS dilancarkan yang mana kapal pertama iaitu KD Maharaja Lela (2501) dijadualkan diterima TLDM pada 2019 dengan diikuti kapal-kapal lain sehingga terakhir pada Januari 2023.

 

Malangnya, sehingga skandal LCS didedahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada tahun lalu, kapal keenam iaitu KD Mat Kilau masih belum dibina.


 

KD Maharaja Lela (2501)
KD Maharaja Lela bernombor 2501 adalah satu daripada kapal LCS yang projeknya dirundung masalah.

 


Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah LCS harus disiap dan diserahkan. 

 

Segah namanya, KD Mat Kilau jika siap sepatutnya telah belayar megah mengibarkan Jalur Gemilang untuk menghalau musuh yang cuba mengganggu gugat perairan negara.

 

Kekuatan LCS KD Mat Kilau dengan sistem pertahanan empat dimensi ini mempunyai daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan yang terkini wajar digeruni.

 

Dengan kemampuan belayar selama 21 hari, kehadiran LCS melakukan rondaan pada tempoh yang lama sangat diperlukan berbanding kapal-kapal peronda yang saiznya berkali ganda lebih kecil.

 

Kegagalan pembinaan LCS bukan sahaja mengecewakan rakyat yang mahukan negara memiliki keupayaan maritim yang jitu, malah sangat dirasai dalam kalangan veteran TLDM.


 

LCS

 


Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

Kerajaan telah bersetuju meluluskan permohonan perolehan LCS di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 dengan tempoh pelaksanaan perolehan adalah selama 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023.

 

Sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

 

LCS pertama, KD Maharaja Lela telah dilancarkan pada 24 Ogos 2017 yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin  Muizzuddin Shah di Dermaga BNS di Pangkalan TLDM Lumut.

 

Semasa pelancaran tersebut, Menteri Pertahanan waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam ucapannya berkata, pelancaran kapal itu membuktikan keupayaan dan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dalam industri berat.


 

parafrasa

 


Apa yang difahamkan, pembinaan kapal secara serentak dalam projek berskala mega dan membabitkan peruntukan besar itu dikenal pasti antara punca kegagalan menyiapkan LCS mengikut jadual.

 

Kapal lain dalam kelas ini pula ialah KD Syarif Masahor  (2502), KD Raja Mahadi (2503), KD Mat Salleh (2504) dan KD Tok Janggut (2505).

 

Bagaimana pun, KD Maharaja Lela dan KD Syarif Masahor dikatakan telah pun siap pada kadar lebih 50 peratus, manakala tiga kapal lain pada angka 36 hingga 53 peratus.

 

Sekiranya program pemulihan semula projek LCS ini berjalan sepertimana dirancang, dikatakan kapal-kapal seterusnya bakal siap mengikut anjakan masa. 

 

Kapal LCS kedua dikatakan siap pada 2026 iaitu setahun selepas KD Maharaja Lela.

 

Seterusnya LCS ketiga pada 2027, LCS keempat (2028) dan LCS kelima (2029), bagaimana pun tempoh masa ini adalah andaian industri sahaja.

 

Pelan transformasi TLDM menggariskan keperluan memiliki 12 buah LCS melalui dua fasa pembinaan.


 

LCS
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong (dua dari kanan) semasa merasmikan peletakan lunas LCS keempat di Limbungan BNS, Lumut pada Oktober 2018.

 


LCS merupakan komponen penting dalam pelan transformasi tersebut kerana ia merupakan flotilla kapal tempur.

 

Dengan pengurangan hanya lima LCS bermakna angka 12 buah kapal yang dirancang ini akan mengambil masa lebih lama untuk melengkapkan keperluan TLDM yang ingin menjadi angkatan moden pada tahun 2050.

 

Pelan transformasi 15-to-5 dirancang untuk memperkemaskan kedudukan aset TLDM yang pada ketika itu terdiri daripada 15 buah kelas kepada lima.

 

Selain LCS, TLDM telah menggariskan empat kelas lain iaitu Littoral Mission Ship (LMS), New Generation Patrol Vessel (NGPV), Kapal Selam dan Multi Role Support Ship (MRSS).

 

Jika melihat pada nasib program kapal NGPV yang dimulakan 25 tahun lalu, jumlah sebenar kapal yang dirancang adalah 27 buah tetapi hanya enam dibina setelah kerajaan memutuskan tidak meneruskan program tersebut.


 

parafrasa

 


Projek NGPV juga berdepan skandal apabila syarikat yang diberikan kontrak, PSC Naval Dockyard gagal menyiapkan kapal-kapal mengikut jadual.

 

Implikasi adalah pada hari ini apabila ketiadaan 21 buah NGPV yang sepatutnya dibina menyebabkan TLDM masih bergantung pada kapal-kapal peronda era 60an dan 70an.

 

Persoalannya, adakah projek LCS juga bakal menerima nasib serupa apabila akhirnya hanya lima kapal dibina dan bukannya 12 seperti dirancang bermula dengan ketiadaan KD Mat Kilau. - DagangNews.com