Guru Jerman menyerikan majlis reunion Politeknik Ungku Omar 1971/73 | DagangNews Skip to main content

Guru Jerman menyerikan majlis reunion Politeknik Ungku Omar 1971/73

Bekas pelajar PUO bersama Helmut Ullrich (tengah) melihat foto lama semasa menuntut di pusat pengajian itu.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 1 Feb - Seramai 16 orang bekas pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) tahun 1971/1973 hadir pada majlis pertemuan semula di kampus pusat pengajian tersebut di sini pada Sabtu lalu.

 

Majlis ini merupakan anjuran Alumni PUO dengan kerjasama pihak pengurusan PUO.

 

Lebih istimewa apabila perjumpaan tersebut turut dihadiri salah seorang bekas tenaga pengajar PUO dari Jerman, Helmut Ullrich.


 

PUO
Ullrich (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian bekas pelajar pelajar PUO tahun 1971/1973 pada majlis pertemuan semula di Ipoh pada 28 Januari 2023.

 

 

PUO dalam kenyataan memaklumkan, Ullrich merupakan tenaga pengajar di Jabatan Elektronik (kini Jabatan Kejuruteraan Elektrik) semasa awal penubuhan institusi berkenaan.

 

Menurut kenyataan itu, kunjungan bekas pelajar itu juga merupakan salah satu interpretasi kejayaan dan pembangunan PUO sepanjang dekad lalu.

 

"Ullrich berkongsi pengalaman beliau sepanjang bertugas di Malaysia. 

 

"Beliau juga berkesempatan beramah mesra bersama-sama pelajar yang sedang menghadiri kursus kepimpinan sempena kemasukan pelajar baharu bagi sesi II 2022/2023.

 

"Rata-rata bekas pelajar Ullrich menzahirkan kegembiraan dan penghargaan kepada beliau atas usahanya yang sentiasa meneroka peluang serta merapatkan persahabatan bersama bekas pelajar," kata kenyataan itu.

 

Pada sesi itu juga, Ullrich bersama para alumni telah diberikan penerangan ringkas berkenaan perkembangan PUO serta dibawa melawat sekitar kampus.

 

Menurut kenyataan itu lagi, PUO menyambut baik usaha murni para alumni yang sentiasa berhubung dan mempelbagai jalinan kerjasama di antara satu sama lain.

 

 

PUO

 

 

PUO yang terletak di Jalan Raja Musa Mahadi ditubuhkan pada tahun 1969 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO. 

 

Seramai 300 pelajar menjadi kumpulan pertama penuntut yang mengikuti pengajian dalam bidang sains dan teknologi.

 

Seramai 28 orang pensyarah tempatan dibantu 14 orang sukarelawan dari Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun menjadi tenaga pengajar ketika itu.

 

Politeknik ini mengambil sempena nama Allahyarham Dato’ Profesor Ungku Omar Ahmad demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara dalam bidang penyelidikan perubatan. - DagangNews.com