Gunakan istilah yang betul dalam perbankan Islam, elak kekeliruan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 1 November 2022

GUNAKAN ISTILAH YANG BETUL DALAM PERBANKAN ISLAM, ELAK KEKELIRUAN

 

 

DALAM industri terdapat dua jenis perbankan yang beroperasi di Malaysia iaitu perbankan konvensional dan perbankan Islam. 

 

Berdasarkan kajian yang dibuat masih ramai di antara pelanggan perbankan keliru dengan produk-produk yang ditawarkan terutama perbezaan antara kedua-dua perbankan ini. 

 

Salah satu kekeliruan itu adalah penggunaan istilah yang tidak tepat pada produk perbankan Islam dan konvesional. 

 

Penggunaan istilah ‘pinjaman’ sebagai contohnya adalah lebih bersesuaian digunakan apabila kemudahan kredit yang dipilih itu adalah daripada perbankan konvensional. 

 

Sekiranya kita memilih kemudahan kredit daripada perbankan Islam, penggunaan istilah 'pinjaman' adalah tidak tepat. Istilah yang lebih sesuai digunakan ialah ‘pembiayaan’. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Pinjaman adalah satu kontrak antara pemberi hutang (institusi kewangan) dan peminjam (pelanggan) di mana pihak yang pertama menyediakan kemudahan tunai kepada pihak kedua untuk membeli aset yang dihajati. 

 

Pihak pertama akan mengenakan faedah atau riba ke atas pinjaman yang diberikan dan si peminjam akan membayar balik pinjaman tersebut dalam tempoh ditentukan. 

 

Unsur faedah atau riba ini adalah bertentangan dengan syariat manakala istilah ‘pembiayaan’ pula membawa maksud yang lebih mendalam. 

 

Secara amnya, pembiayaan adalah transaksi perbankan di mana pihak institusi perbankan menyediakan kemudahan untuk pelanggan memiliki atau mengunakan sesuatu aset secara ‘jual beli’ ataupun ‘sewa beli’. 

 

Untuk pembiayaan ‘jual beli’, kebiasaannya pelanggan akan mengenal pasti aset yang hendak dimiliki dan seterusnya memohon pembiayaan daripada pihak bank. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Institusi perbankan seterusnya akan membeli aset tersebut dengan harga kos dan kemudiannya menjual kepada pelanggan dengan harga kos campur untung. Pelanggan seterusnya akan membayar harga kos campur untung tersebut secara ansuran. 

 

Bagi pembiayaan ‘sewa beli’ pula institusi perbankan akan membeli asset dan bertindak sebagai pemilik aset sebelum menyewakan aset tersebut kepada pelanggan. 

 

Pelanggan kemudiannya akan membayar sewa bulanan kepada institusi perbankan, selagi mana mereka menggunakan aset tersebut. 

 

Transaksi jual beli dan sewa beli ini adalah bertepatan dengan kehendak syariat dan mendapat kelulusan daripada Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM).

 

 

Penggunaan istilah yang bertepatan dengan kemudahan yang ditawarkan adalah amat penting dan seharusnya diberi perhatian yang serius terutamanya dalam dokumen-dokumen berkaitan. 

 

Jangan tunggu sehingga dokumen tersebut disalah anggap sebagai dokumen pinjaman walhal ia adalah dokumen pembiayaan. 

 

Walaupun perkara ini dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun hakikat dan impaknya akan terserlah sekiranya dokumen tersebut hendak dijadikan bahan bukti oleh pihak institusi perbankan di mahkamah nanti. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Selain itu, bahan-bahan cetak seperti borang permohonan, penyata bulanan, notis serta iklan-iklan yang dibuat perlulah dicetak dan dipamerkan dengan menggunakan istilah yang tepat, jelas dan tidak melanggar etika yang digariskan syariat. 

 

Apatah lagi apabila kita semua tahu yang kesemua bahan-bahan ini telah mendapat pengesahan patuh syariah daripada penasihat syariah setiap institusi perbankan tersebut.

 

Penggunaan istilah yang betul ketika memasarkan produk perbankan Islam perlu diberi penekanan. Para pegawai pemasaran juga perlu prihatin dan komited dalam penggunaan istilah yang bersesuaian ketika menjual produk mereka. 

 

Mereka sepatutnya wajib menghadiri latihan ataupun kursus asas tentang penggunaan istilah yang tepat sama ada disediakan sendiri oleh setiap institusi perbankan ataupun mana-mana pusat latihan yang menawarkan khidmat latihan perbankan Islam seperti apa yang dikendalikan oleh ISRA, IIiBF, CIIF dan ASAS. 

 

Jangan sekali-kali pegawai-pegawai pemasaran ini menyamakan produk konvensional dengan produk perbankan Islam kerana kedua-dua jenis kemudahan ini sebenarnya amat ketara bezanya dari segi pelaksanaan mahupun undang-undang. 

 

Dalam usaha memberi kefahaman yang tepat mengenai perbankan Islam, adalah menjadi satu perkara asas yang amat penting untuk masyarakat memahami istilah dan bahasa perbankan yang digunapakai. 

 

Tanpa istilah yang tepat dan betul, produk perbankan Islam mungkin akan terus dianggap sama sepertimana produk perbankan konvesional.

 

Apa yang dikhuatiri adalah, tanpa usaha yang gigih daripada pihak terlibat, penggunaan istilah yang tidak tepat ini bakal berterusan dan akan terbawa-bawa dalam percakapan, amalan hinggalah tersurat dalam semua bahan cetak dan dokumen perbankan Islam. 

 

Jika ini berlaku ia bakal membantutkan usaha untuk mertabatkan perbankan Islam di Malaysia. - DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags