Google Wallet kini di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Google Wallet kini di Malaysia

DENGAN pembayaran tanpa tunai yang semakin menjadi pilihan untuk pengalaman yang lancar, Google berasa teruja untuk mengumumkan bahawa Google Wallet kini tersedia di Malaysia.

 

Google Wallet menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih selamat, mudah dan lebih membantu kepada orang ramai serta menyokong item-item digital seperti pas masuk. Untuk bermula, muat turun Google Wallet daripada Gedung Google Play sekarang.

 

“Berdasarkan laporan e-Conomy SEA 2022, pembayaran digital semakin popular dan dijangka mencecah hampir $200B dalam nilai transaksi kasar di Malaysia menjelang 2025. Dengan jutaan rakyat Malaysia kini menggunakan telefon mereka setiap hari untuk membuat pembayaran, Google teruja untuk membawa Google Wallet ke Malaysia,” kata Marc Woo, Pengarah Urusan, Google Malaysia.

 

“Dengan Google Wallet, rakyat Malaysia boleh mengetik untuk membayar di kedai atau membuat pembayaran dalam talian dengan lancar. Mereka juga boleh mengakses pas masuk mereka dengan mudah apabila mereka keluar untuk percutian akhir tahun mereka. Google Wallet membantu memastikan segala-galanya dilindungi di satu tempat, tidak kira kemana anda pergi."

 

google
Dari kiri ke kanan: Daniel Cheong, Ketua Perbankan Pengguna, CIMB Bank; Tee Chui Chee, Pengurus Besar - Perkhidmatan & Sokongan Kad, Public Bank; Hanif Yaakob, Pengarah Pembangunan Perniagaan, Mastercard Malaysia; Nick Drew, Ketua Kewangan dan Perjalanan, Google Malaysia; Ong Shi Jie, Ketua Pembayaran, Hong Leong Bank; Clarice Yao, Ketua Pembangunan Perniagaan, Visa Malaysia; dan, Mohamed Galal, Timbalan Ketua Pegawai Teknologi, AirAsia.

 

Mulai hari ini, pemegang kad CIMB Bank (kad kredit Mastercard), Hong Leong Bank (kat kredit Visa dan debit Mastercard), Hong Leong Islamic Bank (kad debit Mastercard), dan Public Bank (kad kredit dan debit Visa), akan dapat menambahkan kad mereka pada Google Wallet dan membayar menggunakan telefon Android atau peranti Wear OS mereka di mana pembayaran tanpa sentuh diterima.

 

Pemegang Kad HSBC (kad kredit Visa dan Mastercard) dan HSBC Amanah (kad kredit Visa dan Mastercard) juga akan dapat menambahkan kad mereka pada Google Wallet tidak lama lagi.

 

Kad-kad bayaran dari Google Wallet dapat digunakan untuk membayar secara dalam talian atau dalam apl untuk jenama-jenama seperti Airbnb, Al-Ikhsan Sports, Applecrumby, Eat Cake Today, Shopee, atau di mana sahaja terdapatnya butang Google Pay.

 

Bagi mereka yang akan bercuti akhir tahun, selain mengetik untuk membayar perjalanan menaiki kereta api ke lapangan terbang, mereka juga boleh menambah pas masuk dari AirAsia dan dalam bulan-bulan akan datang, juga dari Malaysia Airlines.

 

Dengan pas-pas masuk dalam Google Wallet, mereka akan dimaklumkan tentang perubahan pada masa berlepas dan perubahan pintu masuk untuk memastikan mereka boleh melalui pintu masuk di lapangan terbang.

 

Tambahan pula, mereka akan dapat mengetik dan membayar dengan cara yang selamat menggunakan Google Wallet semasa perjalanan ke luar negara mereka, tanpa memerlukan kad fizikal mereka.

 

 

google

 

 

Menggunakan Google Wallet adalah mudah

Jika anda sudah mempunyai kad kredit atau debit yang disimpan ke akaun Google anda, ia akan dipaparkan secara automatik dalam Google Wallet; anda hanya perlu menyediakannya untuk pembayaran tanpa sentuh dengan mengikuti langkah-langkah pada skrin.

 

Jika anda tidak mempunyai kad yang tersimpan dan ingin menambahkan kad baharu pada Wallet, ketik “Tambahkan kad” dalam karusel di bahagian atas halaman dan anda akan digesa untuk menyemak dan menerima terma dan syarat pengeluar sebelum menggunakannya. Sebaik sahaja anda menerima dan mengesahkan maklumat kad anda, kad akan diberi token dan sedia untuk digunakan dalam Google Wallet.

 

Menambah item-item digital seperti pas masuk ke Google Wallet adalah sama mudahnya dan selalunya boleh dilakukan dengan beberapa ketikan. Sebagai contoh, selepas membeli tiket penerbangan daripada apl Super App airasia, anda akan melihat butang berlabel "Tambah pada Google Wallet" yang akan membuat versi digital pas masuk dalam Google Wallet anda.

 

google

 

Menggunakan Google Wallet adalah selamat

 

Privasi dan keselamatan merupakan asas Google Wallet - ia memberikan anda semua keselamatan telefon Android anda dan ia termasuk tokenisasi standard industri. Apabila anda menggunakan Google Wallet, urus niaga dibuat menggunakan nombor kad ganti (token), yang khusus kepada peranti anda dan dikaitkan dengan kod keselamatan dinamik yang berubah dengan setiap transaksi.

 

google

 

 

Bank-bank juga perlu mengesahkan pemegang kad sebelum anda boleh menambahkan kad pada telefon anda, dan anda boleh menetapkan kunci skrin supaya orang yang tidak dikenali tidak dapat mengakses kandungan pada peranti anda.

 

Jika telefon anda hilang atau dicuri, anda boleh menggunakan fungsi "Cari Peranti Saya" untuk mengunci peranti anda dengan serta-merta dari mana-mana sahaja, selamatkannya dengan kata laluan baharu, malah menghapuskan maklumat peribadi dan butiran kad pembayaran anda dari peranti tersebut.

 

Kami juga ingin memberikan ketelusan dan kawalan tentang cara maklumat diurus, dan anda boleh mengemas kini tetapan ini daripada apl Google Wallet atau pada komputer anda di myactivity.google.com/product/wallet.

 

Muat turun Google Wallet di Gedung Google Play hari ini. - DagangNews.com