GoodMorning Global, DagangAsia Network jalin kerjasama tembusi pasaran halal antarabangsa | DagangNews Skip to main content

GoodMorning Global, DagangAsia Network jalin kerjasama tembusi pasaran halal antarabangsa

Lembaga Pengarah GoodMorning Global memeterai MoC dengan DagangAsia Network untuk memasarkan minuman kesihatan multi-bijirin dan produk berasaskan tumbuhan ke rangkaian halal antarabangsa di Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac -  Syarikat pemakanan multi-bijirin terbesar Malaysia, GoodMorning Global Group Holdings Bhd menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan pengedar makanan terkemuka, DagangAsia Network Holding Sdn Bhd untuk pasaran minuman kesihatan multi-bijirin dan produk berasaskan tumbuhan ke rangkaian halal antarabangsa di Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah.

 

Kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama memaklumkan, dengan memanfaatkan pasaran dalam talian halal DagangAsia, kerjasama itu akan menyaksikan GoodMorning Global berkembang ke pasaran luar negara, dalam pemasaran dan pengedaran minuman serbuk nutrisi lengkap berasaskan tumbuhan untuk keluarga dan kanak-kanak untuk semua peringkat umur. 

 

"Perkongsian strategik itu akan memastikan kedua-dua jenama Malaysia menjadi peneraju pasaran barangan pengguna dalam industri halal, yang diramalkan menjadi pasaran baru muncul terbesar dalam tempoh lima tahun akan datang dengan nilai mencecah RM420 juta," katanya.

 

Terdahulu, MoC itu ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Kumpulan GoodMorning Global, Datuk Dr Lim Sin Boon; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Kewangan, Dr Charles Cheng Fang Chin serta Ketua Pegawai Eksekutif DagangAsia Network, Sam Hwang dan Ketua Pegawai Operasi, Tony Er.

 

Sementara itu, Lim berkata, jenama mereka sentiasa menyokong cara hidup yang lebih sihat dan pihaknya berkongsi visi ini sejak sekian lama melalui minuman multi-bijirin. 

 

"Pasaran halal sentiasa menjadi bidang yang kami ingin terokai. Menerusi pengaruh DagangAsia Network dalam pasaran halal, kami percaya bahawa kerjasama ini akan membantu membawa kebaikan berasaskan alam semula jadi kepada lebih ramai pengguna. 

 

Katanya, dengan kerjasama ini, pihaknya berharap dapat menggalakkan pemakanan lebih sihat dengan minuman multi-bijirin yang berkhasiat di pasaran lebih besar di luar Malaysia.

 

Sam pula berkata, DagangHalal.com ialah platform mereka yang paling kompetitif dan sentiasa membawa pembaharuan dalam pasaran halal. 

 

"Platform ini bertujuan untuk menjadi platform perdagangan yang cekap dan boleh dipercayai untuk para pembekal dengan persijilan halal untuk menjalankan aktiviti padanan e-dagang dan perniagaan dalam talian, serta mengukuhkan jenama mereka sebagai wakil halal. 

 

"Ia juga memudahkan transaksi jualan dagangan antarabangsa untuk pembekal melalui saluran dalam talian ke luar talian sambil menyertai pelbagai pameran perdagangan makanan dan minuman antarabangsa setiap tahun," katanya.

 

Selain itu, jenama multi-bijirin ini turut mendapat kelulusan daripada Pusat Keselamatan dan Kualiti Makanan Oman untuk mengedarkan produk makanan halalnya ke negara Timur Tengah. - DagangNews.com