Glomac unjur lepasi jualan RM160 juta yang dicatatkan tahun kewangan lalu pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Glomac unjur lepasi jualan RM160 juta yang dicatatkan tahun kewangan lalu pada FY23

KUALA LUMPUR 19 Okt - Glomac Berhad mengunjurkan jualannya untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23) akan melepasi RM160 juta yang dicatatkan untuk tahun kewangan lepas berikutan pelancaran projek baharu.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Glomac, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, jualan RM120 juta hingga RM125 juta direkodkan setakat ini untuk dua suku pertama FY23.

 

"Sebelum ini, kami kehilangan kira-kira lapan bulan kerana ordinan darurat serta pandemik COVID-19. 

 

"Kami masih (menghadapi pandemik). Jadi tahun kewangan ini, kami berharap untuk melakukan lebih baik daripada tahun kewangan lalu.

 

"Menerusi unjuran pelancaran baharu, untuk tahun kewangan ini iaitu kira-kira RM469 juta, kebanyakan pelancaran akan berlaku pada suku ketiga dan keempat," katanya. 

 

Fateh Iskandar berkata, pelancaran yang dirancang akan memberi tumpuan kepada permintaan pasaran, sambil menambah Glomac berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan kelebihan pasaran, memandangkan ia mempunyai spektrum penuh pembangunan untuk ditawarkan.

 

Beliau berkata, Glomac berhasrat untuk memacu pendapatan melalui kemajuan pembinaan yang mantap bagi projek yang sedang berjalan, dan kejayaan pelaksanaan pelancaran baharu yang akan datang. - DagangNews.com